
BEAUFORT: Seorang lelaki berumur 32 tahun yang menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah, merempuh satu sekatan jalan raya (SJR) dan menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis yang sedang bertugas pada waktu itu, dipenjara tujuh tahun dan didenda RM30,000 atau penjara enam bulan.
Majistret Afiq Agoes menjatuhkan hukuman itu kepada Venday Doloris yang mengaku bersalah kepada tuduhan terhadapnya.
Venday menunggang motosikal semasa di bawah pengaruh dadah dan gagal menghentikan jenteranya di sekatan jalan raya sehingga merempuh anggota polis yang mengalami kecederaan tangan dan pinggang.
Kesalahan itu berlaku pada pukul 7.50 pagi 11 Februari tahun ini di sepanjang Jalan Lumatai, di sini.
Kes didakwa di bawah Seksyen 44(1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mahkamah memerintah supaya Venday menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 11 Februari tahun ini.
Venday juga gagal membayar denda itu dan perlu menjalani hukuman gantian penjara enam bulan.
Mahkamah mendengar bahawa Venday menunggang motosikal dari Jambatan Baru Beaufort ke arah Sipitang dan merempuh sekatan jalan raya itu untuk mengelak daripada pemeriksaan polis.
Semasa kejadian, terdapat empat anggota polis bertugas dan Venday melanggar salah seorangnya. Polis cedera itu dikejarkan ke Hospital Beaufort untuk rawatan.
Sejurus kejadian, Venday bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran sebelum menghilangkan diri. Bagaimanapun, tertuduh kemudiannya ditangkap pada hari sama.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
