Fokus tiga inisiatif gandakan pertumbuhan ekonomi: Salleh

8 Dec 2021 • 1:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah disaran untuk memberi fokus kepada tiga inisiatif bagi menggandakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan.

Ketika membuat gesaan itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (gambar) berkata pertamanya Sabah perlu memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi menerusi pelbagai strategi pelaburan termasuk dasar inisiatif ketika negara ini berdepan pandemik Covid-19.

Beliau berkata langkah seterusnya ialah mentransformasikan ekonomi negeri ini kepada yang lebih kompetitif.

Bagi mencapai tujuan itu, Salleh berkata kerajaan diseru meningkatkan tahap produktiviti, memajukan lagi industri hiliran selain mewujudkan industri baharu yang melibatkan penyertaan aktif sektor swasta.

“Misalnya dalam bidang pertanian, kita perlu meningkatkan kualiti dan kuantiti produk makanan hiliran untuk memenuhi permintaan domestik dan pasaran ekspot ,” katanya ketika membahaskan Bajet Sabah 2022 di Dewan Undangan Negeri Sabah pada Selasa.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut menekan pentingnya kerajaan memudahkan kemasukan pelaburan.

“Pihak Kerajaan perlu cekap untuk memudahkan kemasukan pelaburan dan memastikan kos menjalankan perniagaan adalah berdaya saing dan lebih menarik berbanding tempat lain di rantau ini,” katanya.

Sehubungan  itu, beliau juga menekankan kepentingan autonomi ekonomi untuk Sabah. 

“Semua aspek keputusan berkaitan pematuhan undang-undang, dasar pelaburan, kelulusan pelaburan, promosi pelaburan dan promosi eksport seharusnya boleh dibuat di peringkat Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Menurutnya pendekatan itu berupaya meningkatkan kecekapan pengurusan dan menyokong aktiviti pelaburan dan eksport.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.