Shah Alam Mungkin Berubah Menjadi Pantai!

23 Dec 2021 • 8:22 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar masjid: Intan Payung, Pexels

Selangor, khususnya Shah Alam dan Klang dilanda bah terburuk dalam sejarah dengan lebih 30 kematian direkodkan, mutakhir ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran musim Monsun Timur Laut serta hujan lebat berterusan, dipercayai tempias daripada taufan Rai yang melanda Filipina.

Kawasan berhampiran Sungai Klang seperti Taman Sri Muda turut lumpuh sepenuhnya sejak Jumaat lalu. 

Fenomena perubahan iklim ekstrem ini bukanlah satu isu baru, malah negara kita turut tidak terlepas daripada ‘amukan’ alam semula jadi ini.

Mungkin bukanlah satu kajian baru, namun terdapat satu kajian yang sangat relevan dengan situasi negara kita sekarang untuk diambil iktibar.

Pada 2019, Centre for Governance and Political Studies (CentGPS) telah mengeluarkan satu kajian tergempar yang menjangkakan Malaysia bakal tenggelam menjelang 2050.

Organisasi bukan kerajaan ini menjalankan Digital Elevation Models (DEM), satu kajian simulasi digital berkenaan bagaimana paras kenaikan air laut mempengaruhi negara-negara pesisir laut.

Kajian ini mengukur peningkatan paras air laut menggunakan model Shuttle Radar Topography Mission (SRTM). 

Di sebelah utara Semenanjung Malaysia, DEM mendapati Alor Setar bakal menjadi sebuah pulau dan kawasan sekitar Parit Buntar dan Taiping bakal tenggelam 30 tahun akan datang.

Bagan Datoh, Teluk Intan dan Kuala Selangor akan lenyap, sementara Pelabuhan Klang bakal tenggelam di bawah laut bersama Muar dan Pekan. 

Shah Alam, Setia Alam, Subang Jaya, Kota Kemuning dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pula bakal berlokasi bersebelahan pantai.

Kuala Terengganu bakal mengecil menjadi pulau-pulau kecil, sementara di sebelah wilayah Malaysia Timur, Kuching, Sarawak bakal berubah menjadi sebuah pulau. 

Bertambah malang, Lebuhraya PLUS yang menjadi nadi pengangkutan Utara-Selatan Semenanjung Malaysia juga bakal lenyap selama-lamanya ditelan laut.

Selain Malaysia, CentGPS turut mendedahkan 70% tanah Asia berada dalam situasi bahaya dengan ancaman kenaikan paras air laut di peringkat global.

Ia menjejaskan kira-kira 43 juta penduduk China, 19 juta penduduk Bangladesh, 26 juta penduduk Vietnam dan 17 juta penduduk Thailand. - Getaran, 23 Disember 2021