Pelajar UKM jayakan aktiviti perkhemahan, amalkan SOP dan pengurusan risiko yang ketat

29 Jan 2022 • 10:11 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Seramai 13 pelajar Sarjana Pendidikan (Pengurusan Sukan), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melaksanakan amalan Standard Operation Procuder (SOP) dan pengurusan risiko melalui aktiviti perkhemahan di Moonkissed Campsite, Hulu Langat, Selangor, 16 Januari lalu.

Pensyarah subjek Prosedur Pengurusan Sukan, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Wan Ahmad Munsif Wan Pa berkata, merasai sendiri aktiviti perkhemahan adalah cara terbaik menilai risiko yang boleh dihadapi sepanjang aktiviti dilaksanakan.

“Penyesuaian SOP dapat mengurangkan risiko dari sebarang penularan wabak Covid-19 khususnya semasa melaksanakan aktiviti di tapak perkhemahan,” katanya.

Beliau yang juga bekas atlet tenis negara berkata, pelaksanaan aktiviti rekreasi yang perlu mematuhi SOP merupakan satu cabaran baharu bagi pemilik tapak perkhemahan, peserta perkhemahan dan pengunjung yang ingin melakukan aktiviti tersebut.

“Oleh itu, pengalaman norma baharu ini penting bagi pelajar Sarjana Pendidikan (Pengurusan Sukan) dalam menjalani aktiviti perkhemahan pada masa kini,” katanya.

image is not available

Sementara itu, Ketua Program Aktiviti Pengurusan Risiko UKM, Muhamad Asyraf Faiz Zuarimi berkata, aktiviti pengurusan risiko ini berjalan dengan jayanya seperti yang dirancang.

“Besar harapan saya agar aktiviti perkhemahan atau rekreasi sebegini dapat diadakan secara berterusan bagi memberi terapi minda dan dapat meluangkan masa bersama orang yang tersayang dengan alam sekitar.

“Walaupun masih dalam suasana pandemik, namun melakukan aktiviti rekreasi bukanlah satu halangan sekiranya pematuhan SOP diamalkan seperti mana yang telah disarankan oleh pihak kerajaan,” katanya.

image is not available

Terdahulu, program dinamakan Aktiviti Pengurusan Risiko (Prosedur Pengurusan Sukan) itu dianjurkan oleh Pelajar Sarjana Pendidikan (Pengurusan Sukan), Fakulti Pendidikan, UKM.

Objektif program adalah mengetahui prosedur aktiviti perkhemahan dalam norma baharu dan mengenal pasti cara pengurusan risiko dalam norma baharu bagi aktiviti perkhemahan.

Program dua hari satu malam itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti taklimat prosedur keselamatan dan pengenalan aktiviti “outdoor” seperti knotting.

Diharapkan program ini dapat dijadikan rujukan kepada kumpulan rekreasi yang lain untuk mengadakan aktiviti perkhemahan kelak.