PM: Enam amaran cuaca dikeluar tetapi tidak diendah pihak urus bencana

20 Jan 2022 • 12:13 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 20 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan enam kali amaran cuaca yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan pada 18 Disember lalu tetapi tidak diendah sesetengah pihak terlibat pengurusan bencana.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak terlibat mengandaikan hanya negeri di Pantai Timur sahaja akan terjejas akibat banjir yang dibawa hujan lebat berterusan akibat luruan monsun timur laut.

“Persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada negeri-negeri di Pantai Timur dan banjir luar biasa di Selangor yang berlaku adalah di luar jangkaan banyak pihak.

“Banjir di Selangor yang bermula pada hari 18 Disember 2021 berlaku akibat jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan,” katanya pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri berkata fenomena air pasang juga menyebabkan banjir yang berlaku di negeri ini bertambah lebih buruk.