Hukuman Seungri Dikurangkan, Hanya Setahun Setengah Dalam Penjara

28 Jan 2022 • 5:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar: Instagram @seungriseyo

Mahkamah Tinggi Angkatan Bersenjata Korea Selatan bersetuju mengurangkan hukuman bekas anggota kumpulan BIGBANG, Seungri kepada penjara selama 1 tahun dan enam bulan sahaja.

Berbanding sebelum ini, hakim memutuskan Seungri menerima hukuman penjara selama tiga tahun dan denda sebanyak 1.15 juta Won iaitu sekitar RM3.9 juta.

Penyanyi lagu ‘Let’s Talk About Love’ itu didapati bersalah terhadap sembilan pertuduhan, antaranya melakukan aktiviti pelacuran, menggelapkan dana, melupuskan bukti penyelidikan, menggelapkan wang perniagaan dan pendapatan. 

Semasa sidang pertama, hakim menyebut bahawa Seungri didakwa bersekongkol dengan Yoo In-Seok untuk membantu pelabur asing melanggan pelacur beberapa kali. Perbuatan mengkomersialkan seks ini dikatakan melanggar norma masyarakat.

Pengurangan hukuman ini diputuskan selepas Seungri mengakui semua kesalahan dan menyesal dengan semua jenayah yang dilakukan.

Jika keputusan ini muktamad, Seungri akan dibebaskan selepas menyelesaikan tempoh tahanan yang berbaki selama setahun sebulan memandangkan dia sudah dipenjara sehingga lima bulan setakat hari ini. 

Namun begitu, Seungri masih dijadualkan untuk mengikuti perbicaraan ketiga di Mahkamah Agung Korea Selatan nanti. - Getaran, 28 Januari 2022

Sumber: CNN Indonesia dan Soompi