Rancangan bina pelabuhan di Kudat diteruskan: Bung

27 Jan 2022 • 3:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan meneruskan rancangan untuk membina sebuah pelabuhan baharu di Kudat bagi merancakkan ekonomi setempat dan melonjakkan hasil pendapatan negeri, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata sebelum ini rancangan tersebut tertangguh, namun ia akan diteruskan memandangkan daerah berkenaan berpotensi dibangunkan selain lokasinya yang stategik bagi pembangunan ekonomi berasaskan pelabuhan.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Hajiji Noor) berhubung dengan perkara itu dan mengambil keputusan untuk meneruskan rancangan berkenaan.

“Kita berharap kerajaan Persekutuan bukan sahaja bersetuju namun dapat menyediakan peruntukan untuk melaksanakan projek tersebut,” katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Lembaga Pelabuhan-Pelabuan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya optimis perancangan itu akan dapat merangsang pembangunan setempat memandangkan banyak kawasan berhampiran Kudat seperti Kota Marudu Matunggung dan Pitas masih kurang kemudahan infrastruktur yang efisien.

“Jika perancangan ini dapat direalisasikan, saya optimis kawasan ini akan pesat membangun dan dalam masa sama perlaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo akan memudahkan lagi sistem perhubungan antara Kudat dan lain-lain bandar khususnya Kota Kinabalu yang menjadi pemangkin pembangunan kawasan Kudat dan sekitarnya.

“Perancangan ini merupakan satu projek pembangunan inklusif yang mana kerajaan juga akan membina satu bandar baharu selain mewujudkan zon perdagangan khas bagi membantu bukan hanya ekonomi Sabah tetapi juga membangunkan kawasan persekitaran Kudat,” tambahnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.