PM akui banjir di Selangor luar biasa, luar kemampuan jentera urus bencana negeri

20 Jan 2022 • 12:31 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 20 JAN: Perdana Menteri mengakui kejadian banjir yang berlaku di Selangor melebihi kemampuan jentera tindak balas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Selangor jarang berdepan banjir besar luar biasa malah bencana yang berlaku sangat tidak diduga semua pihak meskipun amaran hujan berterusan dikeluarkan.

“Sebagai contoh, meskipun penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam sudah biasa berdepan banjir kilat akibat hujan lebat namun mereka tidak menyangka air akan naik begitu cepat dan tinggi pada kali ini.

“Agensi penyelamat juga menghadapi kesukaran mendapatkan kerjasama penduduk untuk berpindah dengan segera,” katanya dalam Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata rata-rata mangsa yang enggan berpindah memberi alasan hendak menyelamatkan harta benda, jarak pusat pemindahan sementara (PPS) agak jauh, bimbang rumah dimasuki pencuri serta risiko jangkitan Covid-19 di PPS.

“Berikutan itu, apabila paras air naik secara mendadak, ramai penduduk terperangkap dan memerlukan pertolongan segera,” katanya.

Ismail Sabri memaklumkan usaha menyelamat berdepan kesukaran kerana banyak kenderaan terperangkap di jalan utama sehingga memaksa anggota penyelamat memikul aset ke kawasan terlibat.

“Bot penyelamat juga sukar bergerak kerana tersangkut kenderaan yang tenggelam. Selain itu kelewatan usaha menyelamat disebabkan alamat rumah diberi pemanggil gagal dikenal pasti kerana ditenggelami air,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata jurupandu turut digunakan membantu anggota penyelamat dari negeri lain kerana tidak arif selok belok kawasan ditenggelami banjir.