Bicara ditangguh, Peter Anthony lantik peguam baharu

3 Jan 2022 • 2:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Prosiding hari pertama bela diri Datuk Peter Anthony atas dakwaan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dijadual bermula Isnin ditangguhkan berikutan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu melantik peguam baharu untuk mewakilinya.

Hakim Azura Alwi membenarkan penangguhan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Peter melantik peguam baharu dan memohon prosiding pada Isnin dilapangkan.

“Saya memperkenalkan peguam baharu yang mewakili Peter iaitu S. Devanandan. Pihak pendakwaan bersetuju supaya kehadiran tertuduh (pada Isnin) dikecualikan atas alasan pihak pembelaan memohon tarikh (bela diri) dilapangkan kerana tertuduh telah melantik peguam baharu untuk mewakilinya,” kata Wan Shaharuddin.

Devanandan menggantikan peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin yang sebelum ini mengendalikan kes itu bersama seorang lagi peguam, Datuk D. Senthinathan.

Sementara itu, Wan Shaharuddin berkata, pernyataan saksi pembelaan perlu diserahkan kepada pendakwaan dalam masa seminggu sebelum saksi-saksi tersebut memberi keterangan.

“Pihak pendakwaan belum menerima pernyataan saksi pembelaan yang sepatutnya diserahkan pada Isnin,” katanya.

Devanandan pula memberitahu mahkamah pihaknya akan menyerahkan pernyataan saksi seperti dipohon oleh pendakwaan dan bercadang untuk memanggil empat saksi pembelaan termasuk Peter.

“Kami memberi aku janji untuk menyerahkan pernyataan saksi pembelaan dalam tempoh seminggu bermula hari ini kerana kami masih belum berjumpa anak guam bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh baharu pada 9 dan 10 serta 16 hingga 18 Februari ini untuk tertuduh membela diri.

Pada 14 Disember 2021, Peter, 50, yang juga bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) diperintah membela diri atas pertuduhan memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di universiti itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 dan dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. -- Bernama