Ujian saringan kendiri mingguan secara bergilir boleh dilakukan di rumah – Radzi Jidin

11 Jan 2022 • 3:49 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

KUALA LUMPUR – Ujian saringan kendiri mingguan secara bergilir yang dilaksanakan pada 1 Disember 2021 lalu kini boleh dilakukan di rumah bermula minggu ini.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, Kementerian Pendidikan (KPM) telah berbincang bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bersetuju membenarkan ujian saringan tersebut dilaksanakan di rumah dan keputusannya dimaklumkan kepada pihak sekolah.

Sebelum ini, Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan oleh KKM antara lain telah menetapkan seramai 10 peratus murid sekolah rendah akan dipilih secara rawak bagi menjalani ujian saringan kendiri mingguan secara bergilir di sekolah.

“Saya ingin menegaskan bahawa amat penting bagi ibu bapa kepada anak-anak yang terpilih untuk melaksanakan ujian ini di rumah mengikut tatacara yang ditetapkan.

“Ini bagi memastikan sesi persekolahan dapat berlangsung dengan teratur dan selamat.

“Jika ia tidak dilakukan mengikut tatacara yang ditetapkan, kesemua warga pendidikan akan terkesan,” katanya melalui video di laman rasmi Facebook beliau.

Dalam pada itu, Radzi Jidin juga menyeru agar ibu bapa mengambil berat tentang pendekatan baharu ini agar ujian ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan mengikuti segala Prosedur Operasi Standard (SOP).

KPM akan mengeluarkan kenyataan media bagi menjelaskan secara terperinci berkaitan pendekatan baharu ini.