
Kota Kinabalu: Seorang pegawai polis, yang dua tahun lepas didenda RM20,000 atau enam bulan penjara kerana membenarkan seorang pendatang tanpa izin Filipina tinggal di rumahnya berjaya dalam rayuannya untuk mengenepikan pertuduhan dan hukumannya.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Wong Siong Tung membenarkan rayuan Superintenden Polis Mohd Nizam Yang untuk mengetepikan sabitan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/1963.
Nizam, 48, pada 14 Ogos 2018 dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Sesyen, yang pada 20 Julai tahun sama mendapati dia bersalah atas pertuduhan pindaan iaitu membenarkan wanita Filipina tanpa dokumen berusia 27 tahun itu tinggal di sebuah rumah di Taman Ujana Kingfisher , Likas antara April dan November 2016.
Kesalahan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/1963, boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) Akta sama itu membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda antara RM5,000 dan RM30,000, atau kedua-duanya, bagi setiap pendatang tanpa izin yang terlibat, jika sabit kesalahan.
Nizam pada asalnya didakwa atas pertuduhan memperdagangkan rakyat Filipina itu di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen pada 20 Julai 2018 membebaskan dan melepaskannya daripada pertuduhan itu dan mensabitkannya atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen.
Dalam prosiding Mahkamah Tinggi yang sama, rayuan bersilang pendakwaan terhadap perintah pembebasan Nizam daripada pertuduhan di bawah Seksyen 12 Akta Atipsom ditolak.
Terdahulu, Peguam Dominic Chew, yang mewakili Nizam, dalam hujahnya, mengemukakan sembilan alasan, antara lain sabitan di bawah Seksyen 55E adalah tidak selamat dan sabitan Nizam yang serta-merta selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan menaruh prasangka ke atasnya dan mengakibatkan salah laksana keadilan.
Chew juga berhujah bahawa hukuman yang dikenakan ke atas Nizam adalah berlebihan.
Chew turut memohon mahkamah agar mengesahkan pembebasan Nizam di bawah Seksyen 12 Atipsom dan mengenepikan sabitannya di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
