
SHAH ALAM - Pembubaran syarikat, Genting Hong Kong dijangka tidak memberi implikasi kewangan ketara terhadap institusi kerajaan yang memiliki pegangan dalam tiga bank yang merupakan pemiutang tidak bercagar utama kepada pengendali kapal persiaran tersebut.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, walaupun situasi tersebut mungkin menjejaskan potensi dividen bank berkenaan namun kesannya terhadap institusi pelaburan kerajaan dijangka agak minima.
“Ia sedikit sebanyak akan menjejaskan potensi dividen bank kepada institusi pelaburan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi kesannya minimum kerana institusi pelaburan kerajaan mempunyai portfolio pelaburan yang pelbagai dan lebih meluas,” katanya kepada Sinar Harian.
Straits Times Singapura baru-baru ini melaporkan tiga bank Malaysia iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB dan RHB Bank Bhd merupakan antara beberapa pemiutang tidak bercagar utama bagi Genting Hong Kong dengan gabungan pinjaman berjumlah AS$600 juta (RM2.5 bilion).
Sehubungan itu, media melaporkan bahawa keuntungan tiga bank Malaysia termasuk Maybank dijangka terjejas berikutan masalah yang dihadapi pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong ekoran pandemik Covid-19.
Kebimbangan tersebut turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen pada Isnin dan memberikan amaran mengenai risiko kerugian besar bakal dihadapi ketiga bank tersebut yang mana pemegang saham terbesarnya merupakan beberapa agensi kewangan kerajaan.
Jelas Chen, memandangkan pinjaman tersebut secara tidak langsung membabitkan dana daripada institusi kerajaan, rakyat sepatutnya diberikan penjelasan sama ada pinjaman tidak bercagar itu telah diluluskan secara melulu.
Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, bank sentiasa terdedah risiko luar jangka ketika memberikan pinjaman kepada syarikat perniagaan.
“Bank sentiasa terdedah kepada risiko luar jangka ketika memberikan pinjaman kepada syarikat perniagaan dan kerugian RM2.5 billion ini memang sukar dijangka. Pandemik Covid-19 pula satu peristiwa yang tidak diduga,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Razman berkata, kesan pembubaran Genting Hong Kong itu juga dijangka hanya akan membabitkan keuntungan diperoleh oleh ketiga bank tersebut iaitu penyusutan sekitar 15 peratus.
“Jumlah untung sebelum cukai bagi ketiga-tiga bank tersebut pada 2020 ialah sekitar RM12.8 billion dan kemungkinan untung sebelum cukai pada 2021 bagi ketiga bank akan meningkat lebih tinggi.
“Kerugian RM2.5 bilion ini pula akan menyebabkan kemungkinan keuntungan tahun 2021 terjejas sekitar 15 peratus kecuali jika bank mendapat sedikit pampasan hasil penjualan aset Genting HK apabila syarikat dilupuskan,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Adilah Azhari berkata, hutang tidak bercagar sememangnya lebih berisiko kerana tuntutan ke atas aset hanya dilunaskan selepas hutang bercagar.
Sehubungan itu, beliau turut menjangkakan ketiga-tiga bank tersebut akan mengalami peningkatan terhadap tahap pinjaman terjejas kasar (GIL) masing-masing.
Menurut beliau, tahap GIL bank seperti Maybank (1.93 peratus), CIMB (3.4 peratus) dan RHB (1.32 peratus) pada 2021 adalah rendah tetapi dijangka meningkat susulan kes Genting Hong Kong.
“Bagaimanapun, jika berlaku sedikit peningkatan, bank masih boleh dikira sebagai berdaya tahan terutama Maybank dan RHB kerana GIL di bawah dua peratus,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, bank yang beroperasi juga lazimnya memiliki peruntukan untuk menangani hutang lapuk.

