Minta semua pihak henti polemik isu Zii Jia: Ahmad Faizal

24 Jan 2022 • 10:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap agar semua pihak dapat menghentikan polemik atau andaian negatif dalam isu berkaitan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia.

Beliau yang mengadakan pertemuan dengan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu petang tadi turut berharap agar kedua-dua pihak dapat mencari kata sepakat bagi memastikan imej Malaysia dalam sukan badminton dapat terus tersohor di peringkat dunia.

"Saya telah berpeluang untuk berjumpa dengan Zii Jia secara santai, berbincang tentang hasrat dan permasalahan beliau. Saya dimaklumkan esok beliau akan berjumpa dengan kepimpinan BAM dan mereka akan berbincang.

"Saya harap perjumpaan esok dapat merungkai permasalahan yang kita sama-sama hadapi ini. Saya harap Zii Jia dapat berehat sewaktu Tahun Baharu Cina ini bersama keluarga,” katanya menerusi satu klip video yang dikongsikan dengan Bernama.

Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan Zii Jia dan Goh Jin Wei selama sejam di ibu negara kira-kira jam 5 petang pada Isnin.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos pada Jumaat mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari ini.

Ia berikutan keputusan juara Seluruh England itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Januari lalu untuk beliau dapat bergerak sebagai pemain profesional dengan alasan tidak dapat menahan tekanan dan ‘regimented lifestyle’ di BAM.

Sementara itu, juara dunia remaja, Jin Wei pula mengumumkan persaraan pada September lalu sebelum membuat pusingan-U untuk bergerak sebagai pemain profesional, turut tidak akan didaftar untuk menyertai kejohanan selama dua tahun bermula 31 Oktober 2021.

Bagaimanapun BAM pada Isnin mengesahkan bahawa Zii Jia telah menghantar rayuan mengenai keputusan itu dan berjanji ia akan mencari penyelesaian yang terbaik dengan segera.

Difahamkan, Ahmad Faizal dan Zii Jia akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan BAM pada Selasa. - Bernama