
KUALA LUMPUR - Pengambilan suntikan dos penggalak secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) off-site di bawah seliaan Protect Health tidak lagi dibenarkan berkuatkuasa serta-merta.
Jurucakap Protect Health sebaliknya memaklumkan suntikan dos penggalak akan diberikan menerusi janji temu di aplikasi MySejahtera.
“Kami menggalakkan individu yang ingin mendapatkan suntikan dos penggalak supaya menghubungi dan berada dalam senarai menunggu, bukannya secara ‘walk-in’ untuk mengelak kesesakan di PPV dan klinik,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter, hari ini.
Baru-baru ini terdapat laporan tentang kesesakan di PPV seluruh negara sehingga menimbulkan kebimbangan penularan wabak COVID-19 di premis tersebut.
Pada minggu lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan sela masa baharu untuk pemberian dos penggalak kepada penerima vaksin Pfizer dan Astrazeneca, iaitu tiga bulan selepas menerima dos kedua.
Dalam pada itu, Protect Health menasihati mereka yang layak dan belum menerima janji temu di aplikasi MySejahtera, agar mendaftar sebagai senarai menunggu di PPV pilihan mereka.
Langkah-langkah yang perlu diambil jelas jurucakap itu ialah melayari laman web ProtechHealth http://www.protecthealth.com.my dan mencari senarai PPV di https://vaksincovid.protecthealth.com.my/find
"Cari PPV pilihan anda yang didaftarkan di bawah ProtectHealth. Senarai PPV akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
*Telefon PPV pilihan anda untuk mendaftar. Selain itu, boleh juga menghantar e-mel atau pergi ke PPV pilihan tersebut untuk membuat pendaftaran," katanya.
Jelas jurucakap itu, individu yang layak dinasihatkan untuk mendaftar nama di satu PPV fasiliti kesihatan swasta sahaja bagi mengelakkan kekeliruan.
"Mereka yang berjaya mendaftar akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu terlebih dahulu dan akan dihubungi oleh pengamal perubatan swasta sekiranya ada pembatalan janji temu atau no show oleh mereka yang telah menerima janji temu vaksin dalam MySejahtera.
"Pendaftaran untuk dimasukkan ke dalam senarai menunggu di PPV fasiliti kesihatan swasta di bawah Protect Health adalah percuma," katanya.
Protect Health kata jurucakap itu lagi, turut menggesa orang ramai yang layak untuk menerima dos penggalak dan mempunyai janji temu supaya segera hadir ke PPV untuk divaksinasi.
Sehingga kini, seramai 6,627,119 individu sudah menerima suntikan dos penggalak. - Getaran, 4 Januari 2022

