Jangan risau jika alami masalah pengesanan RFID: PLUS

18 Jan 2022 • 12:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan mana-mana pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID.

PLUS dalam satu kenyataan berkata, sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan.

“Jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Mengulas lanjut, PLUS berkata, pihaknya menghargai maklum balas dan pandangan orang ramai terhadap isu kesesakan yang timbul di plaza tol dan telah mengambil tindakan untuk penambahbaikan berdasarkan maklum balas berkenaan.

“Pihak kami juga telah menggandakan pasukan untuk membantu pelanggan di plaza tol, serta meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID.

“Pelanggan lebuh raya disaran untuk memastikan penggunaan lorong yang betul mengikut panduan pada papan tanda yang disediakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, PLUS turut memberitahu pihaknya telah mencatatkan kadar migrasi yang menggalakkan sebanyak 10 peratus transaksi RFID selepas ia dilaksanakan pada 15 Januari lalu di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan.

“PLUS ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang telah berhijrah ke RFID sebagai pembayaran tol pilihan mereka sejak pelaksanaan tersebut,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved