
Kota Kinabalu: Seorang lelaki tempatan yang tiba di negara ini pada 19 Disember lalu selepas menunaikan umrah, merupakan kes positif pertama Covid-19 varian Omicron dikesan di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.
Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata lelaki berkenaan bersama isterinya menunaikan umrah pada 9 Disember hingga 18 Disember lepas dan kembali ke Malaysia pada 19 Disember melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata pesakit bersama isterinya itu tiba di Tawau pada 20 Disember dan diarah menjalani kuarantin di rumah, namun keputusan ujian penjujukan genom keseluruhan pada 4 Januari lepas menunjukkan lelaki tersebut positif varian Omicron.
“Semasa disahkan positif Covid-19, suami pada Kategori 2 manakala isterinya Kategori 1. Mereka berdua telah selesai menjalani kuarantin pada 1 Januari lepas dan telah pulih daripada jangkitan virus Covid-19.
“Isteri pesakit yang juga sedang menjalani kuarantin pada masa yang sama dengan suami, dikesan positif Covid-19 pada 24 Disember, namun penjujukan genom keseluruhan untuk isterinya masih dalam ujian,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam tadi.
Beliau berkata suami isteri itu telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 pada Jun tahun lepas dan pada masa ini kedua-duanya dalam keadaan sihat.
Sementara itu, Sabah merekodkan 280 kes positif baharu Covid-19 pada Rabu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 241,660 kes.
“Satu kes kematian dilaporkan pada Rabu iaitu di daerah Ranau,” kata Masidi sebelum menambah 210 pesakit Covid-19 sembuh pada Rabu dan 771 sedang menerima rawatan iaitu 408 orang di hospital, 362 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan seorang di fasiliti swasta.
Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 30 orang merangkumi 29 di ICU serta satu di wad terbuka dan 14 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dari 280 kes baharu pada Rabu, 11 daerah mencatatkan kes pada kadar dua angka dengan tiga daripadanya mencapai 40 kes ke atas iaitu Kota Belud (41), Kota Kinabalu (41) dan Tuaran (40).
Menurut Masidi, Kota Belud dan Tuaran menunjukkan peningkatan kes yang agak ketara apabila masing-masing mencatat pertambahan 22 kes dan 18 kes berbanding hari sebelumnya.
“Penampang pula mencatatkan penurunan yang agak besar dengan penurunan 36 kes,” kata Masidi.
Beliau menambah 276 daripada 280 kes pada Rabu berada dalam Kategori 1 dan 2.
“Tidak ada kes dalam Kategori 3, manakala dua (2) kes dalam Kategori 4 dan terdapat satu (1) kes dalam Kategori 5.
“Satu kes lagi masih dalam penilaian lanjut JKNS,” katanya.
Tiada kluster baharu dicatat di Sabah pada Rabu.
Sementara itu di LABUAN, satu kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Jalan OKK Awang Besar Saudi dikesan di pulau bebas cukai ini dalam masa 24 jam, melibatkan 13 kes termasuk satu kes varian Omicron.
Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata kluster itu dicetuskan oleh jemaah umrah yang pulang ke pulau ini pada 21 Disember lepas dan telah berinteraksi dengan beberapa orang anggota keluarga serta individu lain.
Jalan OKK Awang Besar terletak di pusat bandar Labuan.
Beliau berkata pesakit varian Omicron itu kini menjalani kuarantin bersama keluarganya.
“Pesakit ini telah dikesan positif varian Omicron selepas kembali daripada mengerjakan umrah pada 21 Disember dan beliau tidak menunjukkan sebarang simptom,” katanya kepada Bernama pada Rabu.
Dr Ismuni berkata pengesanan kontak rapat 13 pesakit terbabit kini sedang dilakukan dan seorang daripada mereka difahamkan telah pergi ke jualan gerai Tahun Baharu di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa, baru-baru ini.
Labuan merekodkan dua digit kes Covid-19 iaitu 15 kes pada 2 Januari, sebelum turun ke dua kes sahaja pada keesokan harinya.
Meskipun kes Covid-19 di sini masih terkawal, beliau berkata semua pihak perlu terus berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard selain mengelak pergi ke tempat-tempat sesak.
Labuan merekodkan jumlah kumulatif kes sebanyak 10,863 termasuk 15 kes baharu dilaporkan pada Rabu.
Menurut kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Selasa lepas, sebanyak 122 kes varian Omicron dilaporkan di seluruh negara setakat 4 Januari membabitkan 117 kes jangkitan import dan lima penularan tempatan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
