Parah dilanggar penunggang e-hailing lawan arus

24 Jan 2022 • 3:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

MELAKA - Seorang penunggang motosikal parah setelah terbabit dalam kemalangan dengan penunggang e-hailing di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Paya Rumput, di sini, jam 6.45 petang Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kejadian melibatkan dua motosikal itu berpunca daripada penunggang e-hailing yang menunggang motosikal jenis Suzuki Phanter TXR150 dikatakan melawan arus.

Menurutnya, setibanya di persimpangan tersebut penunggang e-hailing yang datang dari arah kiri jalan secara melawan arus tanpa melihat kenderaan lain telah cuba memintas laluan mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss.

"Pada masa yang sama lampu isyarat laluan mangsa yang berusia 40 tahun itu sudah bertukar hijau dan menyebabkan pertembungan berlaku tengah-tengah persimpangan tersebut.

image is not available

"Akibat pelanggaran itu mangsa yang cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa yang dirawat di zon merah HM itu mengalami pendarahan otak selain patah kaki dan rusuk kanan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Video kemalangan berdurasi dua minit itu tular di media sosial Facebook dan rata-rata netizen bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa kerana kecuaian orang lain.

View Original Article