
Kota Kinabalu: Pelukis tempatan berharap untuk membawa seni kreatif ke tahap lebih tinggi menerusi kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dalam melaksanakan projek berasaskan seni kreatif di negeri ini.
Pelukis utama Projek The Ocean, Wonders of Wilderness (WoW 1.0), Japson Wong berkata WoW 1.0 – projek seni komuniti dua dimensi (2D) dan tiga dimensi (3D) digital terbesar pertama seumpamanya di negara ini – boleh dikembangkan menerusi kerjasama itu.
Bertempat di tapak runtuhan bangunan lama di tengah bandar raya ini, hasil seni itu bukan hanya memaparkan lukisan tetapi juga mempamerkan hasil seni 3D hidupan marin bersaiz sebenar dan persekitaran bawah air, selain elemen seni digital.
“Pameran ini merangkumi sejarah runtuhan dan hasil seni yang pernah dibuat di sana sebelum ini dan yang terbaharu WoW 1.0.
“ WoW bukan saja membabitkan lukisan tetapi juga arca 3D dan seni digital di keseluruhan tapak, (yang mana berlainan berbanding sebelum ini) Pillars of Sabah yang menumpukan kepada lukisan di tembok dan tiang.
“Kita berharap untuk terus bekerjasama dalam projek seperti ini yang menggabungkan seni kreatif dan pendidikan sains dengan KSTI serta Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (Scenic),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Sabtu.
Japson menambah, projek itu turut membabitkan seni komuniti dan jangkauan luar pendidikan.
Selain Japson, pelukis utama lain yang turut terbabit dalam projek itu sejak April tahun lalu ialah Rosmani Sunarjo, selain disokong rakan pelukis seperti Penny Chong, Azlan Dulikab, Cannie Tan, Lim Sheng Haw, Oliver Kah dan Yahz.
Pengarah Balai Seni Lukis Sabah Sara Ahmad berkata, melihat kembali bagaimana Covid-19 telah mencabar kehidupan orang ramai, seni harus bergerak maju sejajar dengan teknologi dan inovasi.
“Balai Seni Lukis Sabah percaya karya seni yang hebat harus memberi manfaat kepada orang ramai.
“Kami akan terus menyokong bakat tempatan dengan menjemput semua orang untuk melihat dan mengalami seni, kreativiti dan kemanusiaan yang dikongsi melalui Projek WoW.”
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan dijadualkan utnuk melancarkan projek bernilai RM95,000 itu hari ini (16 Jan), yang juga akan dihadiri oleh Pengurus Besar Scenic, Viviantie Sarjuni. Pameran ini akan berlangsung selama setahun iaitu sehingga 15 Januari tahun depan.
Sementara itu, Viviantie berkata terdapat banyak bangunan terbiar di negeri ini yang boleh ditukar menjadi tempat menarik di mana aktiviti sains dan kesenian boleh dilaksanakan untuk manfaat awam.
“Kita perlu mengukuhkan kerjasama komuniti-swasta-awam untuk melaksanakannya. Badan bukan kerajaan (NGO) sememangnya bersedia untuk sama-sama bekerja dengan pihak berkuasa kerana mereka mempunyai kepakaran yang mungkin tidak dimiliki oleh kerajaan atau pihak korporat.
Viviantie berkata, sebagai agensi kerajaan negeri yang memacu teknologi industri, inovasi dan kreativiti, Scenic juga berharap agar bakat sedia ada dapat terus kekal dalam jangka panjang bagi membantu dan memberi inspirasi kepada yang lain.
Jelasnya, Scenic bertanggungjawab untuk menyerlahkan lebih banyak bakat akar umbi di Sabah yang boleh dipupuk ke tahap seterusnya dan membantu Sabah dalam memulihkan ekonomi.
Viviantie berkata Scenic sentiasa berhubung dengan pihak berkepentingan atau pemegang taruh dalam ekosistem, khususnya akar umbi bagi memastikan cabaran yang dihadapi dapat diatasi.
“Seperti dijelaskan dalam Pelan Rangka Strategik kami, selain mengukuh dan meningkatkan kemahiran bakat melalui pelbagai aktiviti pembinaan kapasiti, kita perlu ada halatuju untuk mereka menjana pendapatan.
“Scenic menyediakan program untuk melatih bakat kita dalam kepintaran perniagaan termasuk mencari dana dan peluang pelaburan,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
