
KUALA LUMPUR - Bukit Aman merancang meningkatkan keupayaan dengan mendapatkan 785 buah bot untuk ditempatkan di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara, sebagai tindak balas pantas terhadap bencana banjir.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, selepas melihat bencana banjir yang melanda pada 18 Disember lalu di beberapa negeri, pihaknya berpendapat perolehan aset seperti bot amat penting.
Menurutnya, penempatan bot berkenaan di setiap IPD adalah sebagai tindak balas pantas yang boleh dilaksanakan oleh pegawai dan anggota untuk menyelamatkan mangsa.
“Kita merancang untuk meningkatkan keupayaan dengan menempatkan lima buah bot di seluruh 157 IPD (seluruh negara) sebagai quick respond ketika bencana.
“Justeru, kita akan panjangkan perkara ini kepada kerajaan untuk mendapatkan kelulusan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, persiapan awal telah pun dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghadapi Monsun Timur Laut sejak bulan Oktober tahun lalu.
“Persiapan dilakukan di negeri Pantai Timur, sebahagian Johor dan pantai timur Sabah secara ‘auto-pilot’,” katanya.
Bencana yang sehingga kini sudah meragut 54 nyawa itu mengejutkan banyak pihak apabila ia turut membabitkan negeri lain termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.
Menurut Hazani, setakat hari ini seramai 54 kematian dicatatkan akibat bencana banjir sejak 18 Disember lalu, manakala dua lagi mangsa disahkan masih hilang.
“Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan 25 kematian, Pahang (21), Kelantan (4), Sabah (3) dan Negeri Sembilan (1),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hazani berkata, KDNKA telah menggerakkan seluruh elemennya bagi membantu misi pasca banjir termasuk unit Komando 69, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Polis Marin.
“Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membantu masyarakat pasca banjir bagi membersihkan kediaman yang terjejas dan mengagihkan bantuan yang disalurkan oleh pelbagai pihak,” katanya. - Getaran, 5 Januari 2021
