
Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 50 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan - kira-kira 35 minit selepas dia meletakkan keretanya di bangunan Lintas dekat sini pada Jumaat.
Wanita itu yang ditemui berpakaian seragam adalah setiausaha di salah sebuah sekolah di Penampang selama lebih sepuluh tahun. Dia meninggalkan suami dan dua anak perempuan.
Rakan-rakan sekerja mangsa memberitahu Harian Ekspres, wanita itu selalunya tiba di sekolah pada pukul 7.30 pagi setiap hari, namun pada hari kejadian, mereka menyedari mangsa lewat sampai.
Mereka turut mendakwa, sebelum kejadian, wanita itu pernah menyatakan niatnya untuk membunuh diri.
Ketua Polis Bandaraya ACP Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata aduan diterima melalui panggilan di Balai Polis Luyang daripada orang awam.
“Orang awam yang melalui kawasan belakang bangunan itu mendakwa seorang wanita dilihat terlentang dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan letak kereta itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa bekerja di sebuah tadika berdasarkan pakaian yang dipakai dan Pegawai Perubatan di tempat kejadian mengesahkan kematiannya.
Unit Kementerian Kesihatan mengambil mayat wanita itu untuk tindakan lanjut.
“Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati wanita yang memandu Perodua Bezza itu memasuki kawasan parkir pada jam 7.10 pagi,” katanya.
Menurut Mohd Zaidi, Pegawai Penyiasat (IO) yang memeriksa wanita itu mendapati terdapat beberapa kecederaan pada badan dipercayai akibat impak jatuh dari tingkat empat.
Beliau berkata tiada senjata ditemui di lokasi yang boleh dikaitkan dengan kematian wanita itu dan kes itu diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR).
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

