Lebih 20 jam sesat dalam hutan

9 Jan 2022 • 6:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

GEORGETOWN - Seorang wanita berdepan situasi cemas apabila sesat di dalam hutan lebih 20 jam ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di Botani Hill, Jalan Kebun Bunga di sini pada Sabtu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, wanita berusia 52 tahun itu dilaporkan hilang pada jam 4.04 petang selepas keluar mendaki di kawasan berkenaan seorang diri.

"Kita menerima maklumat daripada mangsa yang memaklumkan dia telah tersesat apabila gagal menjumpai jalan keluar semasa melakukan aktiviti pendakian.

"Wanita itu dapat dihubungi melalui panggilan telefon dan juga menghantar lokasinya melalui WhatsApp kepada komander operasi, namun dia gagal dihubungi dan pencarian hanya berpandukan kepada lokasi terakhir yang dihantar itu sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jurucakap berkenaan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa sehingga lewat malam Sabtu, bagaimanapun wanita itu masih gagal dikesan.

Katanya, operasi kemudian disambung bermula jam 8 pagi Ahad dengan penambahan anggota pencarian seramai 44 orang terdiri daripada pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba sukarela.

"Operasi pencarian dijalankan di kawasan Air Terjun Botani dengan jarak dua kilometer dari kaki bukit.

"Pencarian dibahagikan kepada empat sektor pencarian yang bermula dari kawasan air terjun dengan radius dua kilometer sebelum mangsa berjaya ditemukan pada jam 2.57 petang tadi (Ahad) dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak bermaya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.45 petang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved