Harimau di Pos Tuel: Orang asli dinasihat jangan keluar seorang

21 Jan 2022 • 5:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

GUA MUSANG - Polis menasihatkan masyarakat orang asli supaya tidak keluar berseorangan susulan kemunculan seekor harimau di Pos Tuel di Gua Musang, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, langkah itu bagi mengelakkan mereka berdepan bahaya.

"Sekiranya mempunyai urusan penting mereka perlu keluar dalam berkumpulan.

"Untuk makluman, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak telah digerakkan untuk membantu menjaga keselamatan masyarakat orang asli di kawasan yang terkesan dengan kehadiran binatang liar tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Menurutnya, seramai 21 anggota dari Batalion 3 PGA Bidor dari unit Senoi Praaq telah ditugaskan membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan).

Beliau berkata, video seekor harimau yang tular di laman sosial Facebook itu benar dan ia ditemui orang ramai yang menggunakan jalan di Pos Tuel.

Choon Foo berkata, Pos Tuel merupakan antara 'laluan' harimau, namun agak jauh dari kawasan Pos Bihai.

Sebelum ini tular di laman sosial video berdurasi 40 saat yang mempamerkan seekor harimau belang muncul di kawasan laluan penduduk kampung.

Sinar Harian pada 7 Januari lalu melaporkan, seorang lelaki orang asli maut dibaham seekor harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved