Khidmat konsultasi guaman percuma menerusi K-Guam

27 Jan 2022 • 6:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan K-Guam yang menawarkan khidmat guaman atas talian secara percuma kepada orang ramai.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, K-Guam mula beroperasi pada 29 Disember tahun lalu dan sehingga kini sebanyak 18 permohonan telah diterima.

Menurutnya, khidmat konsultasi guaman itu meliputi kes melibatkan perundangan sivil dan syariah yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

"Perundangan sivil merangkumi kes melibatkan perkahwinan, perceraian dan keluarga selain hartanah, pekerjaan, wasiat, pemulihan hutang serta jenayah.

" Manakala bagi perundangan syariah termasuk perkahwinan, perceraian dan keluarga, hibah, wasiat dan pusaka selain wakaf serta jenayah," katanya pada Majlis Perutusan Pengerusi MAIS dan Pelancaran K-Guam di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Khamis.

image is not available

Katanya, permohonan boleh dibuat melalui pautan https://www.mais.gov.my/k-guam/ atau laman web MAIS di www.mais.gov.my.

"Perkhidmatan ini dijalankan secara dalam talian melalui e-mel, Whatsapp, panggilan telefon atau panggilan video tanpa perlu pemohon hadir ke MAIS.

"Perkhidmatan K-Guam ini menyasarkan 240 permohonan bagi tahun ini," katanya.