Isu Azam Baki: Semua pihak diminta terima keputusan SC

Politics
19 Jan 2022 • 11:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PUTRAJAYA - Semua pihak diminta untuk menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu perlu dijadikan panduan.

"Hari ini SC juga sudah mengeluarkan kenyataan mengatakan tiada kes terhadapnya (Azam), jadi kita terimalah keputusan itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia2020 dekat sini, pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan sudah membuat keputusan untuk menyerahkan siasatan kepada SC berhubung pembelian saham menggunakan akaun milik Azam.

"Kalau pembangkang rasa mesti ikut kehendak pembangkang, tidak boleh...Kena terima keputusan badan profesional.

"Jangan kita minta dia (Azam) disiasat, apabila disiasat, keputusan dibuat, kita masih tidak berpuas hati," katanya.

SC dalam kenyataan terbarunya pada Rabu menjelaskan bahawa tiada pelanggaran syarat bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Azam dibuat berdasarkan bukti bebas yang dikumpulkan.

Bukti berkenaan menunjukkan Azam ialah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan itu.

Dalam perkembangan lain, menjawab desas-desus mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia terpulang kepada kerajaan Johor

"Jika Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berpendapat perlu ada pilihan raya, maka beliau akan menghadap Sultan Johor," katanya.

Ujarnya, PRN Johor tidak dibincangkan pada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung minggu lalu.

"UMNO serahkan kepada Hasni untuk membuat keputusan," katanya.