
KUALA LANGAT, 4 JAN: Seorang waris mangsa korban banjir berhasrat memberi sebahagian bantuan RM10,000 diterimanya kepada anggota bomba yang menjumpai mayat bapanya pada 22 Disember.
Hanya mahu dikenali sebagai Tan, dia berkata perkara itu dipersetujui ahli keluarga yang lain bagi menghargai bantuan petugas hadapan dalam insiden banjir di Bukit Changgang.
“Kita akan bagi sumbangan kepada anggota bomba yang jumpa ayah…saya ada tanya polis siapa yang jumpa dan kami perlu cari kerana anggota itu difahamkan dari Melaka,” katanya kepada Selangorkini.
Mengimbau tragedi itu, Tan berkata mereka sekeluarga tidak menyedari bapanya ke kebun bunga yang diusahakan bersama rakan di kawasan terbabit.
“Kami termasuk ayah tinggal di Kuala Lumpur, kalau tahu dia ke kebun memang tidak benarkan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Fadil Md Safi, 36, yang menerima bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri berhasrat membeli tilam untuk lima anaknya selepas tinggal sehelai sepinggang.
Dia turut berterima kasih atas inisiatif Selangor mengecualikan bayaran bil air selama sebulan, yang meringankan bebannya selepas perlu membersihkan rumah pascabanjir.
“Saya fikir anak sahaja sekarang ini, kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dengan mereka tidur beralaskan kotak sebelum menerima toto sumbangan orang ramai,” kata pemandu lori itu.
Hampir 700 keluarga yang terjejas banjir di Kuala Langat dan Sepang hari ini menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diserahkan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.
The post Waris jejak bomba jumpa mayat bapa, hasrat kongsi bantuan RM10,000 appeared first on Selangorkini.
