
BEAUFORT: Seorang lelaki berumur 33 tahun ditahan semasa serbuan polis di Kg Lumadan di sini kerana memiliki syabu, kata Ketua Polis Daerah Yusof Zaki Yaacob.
Polis, dalam serbuan pukul 4.20 petang di sebuah rumah di Kg Lumadan, merampas satu paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat 5.46 gram.
Suspek juga didapati positif syabu dan amphetamine selepas ujian air kencing dijalankan ke atasnya, dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Terdahulu, seorang rakyat Filipina berumur 55 tahun ditangkap polis kerana membawa syabu dalam perjalanannya ke Beaufort, baru-baru ini.
Yusoff, yang mengesahkan tangkapan itu berkata lelaki itu ditangkap pukul 11.45 pagi, Sabtu.
Dalam kejadian itu, polis menahan sebuah kereta Perodua Viva di tepi jalan Kg Selagon Bukit dan menangkap suspek.
Setelah diarah turun dari kereta, polis membongkar barang-barang dalam kereta dan menemui dan merampas dua paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 6.27 gram.
“Suspek turut didapati positif Meth dan Amp,” kata Yusoff sambil menambah, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Sementara itu, Isnin lalu sekitar jam 3.30 petang, polis menahan dua lelaki berumur 24 tahun, dikaitkan dengan kes kecurian motosikal yang dilaporkan hujung 2021 di pekan Beaufort.
“Kecurian motosikal seringkali berlaku di Beaufort sejak kebelakangan ini dan hasil risikan polis suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah di sekitar daerah Beaufort,” kata Yusoff.
Pada hari sama, polis juga menangkap seorang lelaki berumur 42 tahun jam 7.45 petang di Kampung Luagan bersangkut kes kecurian kabel TM di kawasan Beaufort.
“Suspek mempunyai tiga rekod lampau dan akan direman untuk siasatan lanjut bagi mengesan barang kes,” katanya.
