Alasan Upin Ipin Botak, Tak Ada Mak Ayah

20 Jan 2022 • 8:37 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Tidak ada ribut dan hujan tiba-tiba tular di Indonesia penemuan kubur yang katanya adalah  milik Upin dan Ipin yang meninggal akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun sudah. 

Khabar angin yang mula disebarkan oleh akaun TikTok bernama @bang_along31 itu mendapat perhatian warganet Indonesia dan mula dikongsikan ramai orang. Semakin dibiarkan, semakin banyak teori konspirasi dilontarkan netizen. 

Bagi meredakan khabar angin tersebut, Les’ Copaque yang merupakan rumah produksi bagi siri animasi itu tampil membuat beberapa rajutan di akaun Twitter rasmi mereka bagi memberi kefahaman kepada warganet mengapa watak Upin dan Ipin tidak mempunyai ibu bapa.

Asalnya, siri animasi ini hanyalah sebuah projek sampingan. Oleh kerana kekangan masa dan tenaga kerja, produksi memutuskan untuk menjadikan Upin dan Ipin sebagai yatim piatu.

Les’ Copaque turut menyanggah salah faham yang berlaku apabila secara jelas mengatakan siri animasi itu ditulis oleh Hajah Ainon yang juga merupakan pelakon suara bagi watak Opah dan tidak diambil daripada mana-mana cerita warga Indonesia seperti yang tular di media sosial.

Bukan itu sahaja, jalan cerita dipadukan lagi dengan idea oleh pengarah Urusan Les’ Copaque sendiri iaitu Haji Burhanuddin yang menyuntik pengalamannya dibesarkan di kampung dalam siri ini.

 

Kenapa botak?

Watak adik-beradik kembar itu sengaja dibotakkan kerana mereka tidak cukup masa untuk menyiapkan rambut bagi kedua-duanya.

Rajutan itu kemudian menerima respons yang pelbagai daripada warganet khususnya dari Indonesia. 

“Kalau begitu, kenapa yang lain ada rambut tapi Upin dan Ipin tak ada?” tulis satu komen. 

“Tak boleh bayang kalau semua orang dalam siri ini botak,” jawab komen yang lain.

“Pihak produksi tak nak jelaskan kepada Upin dan Ipin tak naik kelas?” tanya seorang netizen.

“Alah, Nobita pun begitu juga. Tak pernah habis belajar dan tak besar-besar,” celah seorang warganet.

Upin dan Ipin pertama kali ditayangkan di Malaysia pada 2007 sebelum diterima baik oleh warga Indonesia sebaik sahaja ditayangkan menerusi sebuah stesen televisyen swasta. - Getaran, 20 Januari 2022

Gambar: Twitter Les’ Copaque