
KUALA LUMPUR - Bermula 3 Februari ini, kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun akan menerima vaksin COVID-19.
Langkah kerajaan memulakan pemberian vaksin tersebut menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) mendapat reaksi berbeza dalam kalangan ibu bapa.
Walaupun terdapat ibu bapa yang menyambut baik pelaksanaan program itu, tidak kurang ada yang masih ‘berkira-kira’ serta mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana bimbang mengenai keselamatan vaksin tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life yang juga pakar kanak-kanak, Datuk Dr Zulkifli Ismail mendedahkan, jangkitan COVID-19 dan kematian membabitkan kanak-kanak semakin menunjukkan peningkatan.
“Kumpulan belum divaksin adalah kanak-kanak, sebab itu kita dapati kes kanak-kanak dijangkiti COVID-19 semakin meningkat.”
“Pada 2020, ada enam hingga lapan kematian dalam kalangan kanak-kanak untuk tempoh setahun. Namun pada 2021, sebanyak 116 kematian kanak-kanak direkodkan di negara ini.
“Kebanyakannya ketika kemuncak gelombang Delta pada Julai hingga Oktober lalu.
“Daripada 116 kematian, lebih 50 peratus atau 70 (kanak-kanak) berusia bawah 12 tahun.
“Justifikasinya? Ia kerana ketika ini kumpulan belum divaksin adalah kanak-kanak, sebab itu kita dapati kes kanak-kanak dijangkiti COVID-19 semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Facebook Live bersama Medical Myhtbusters Malaysia (M3) bagi merungkai persoalan mengenai vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun.
Tegasnya, pemberian vaksin kepada kanak-kanak adalah perlu bagi mengelakkan mereka berdepan masalah kesihatan berpanjangan, kesan daripada jangkitan COVID-19 atau sindrom Long COVID.
Malah beliau berkata, golongan terbabit juga berisiko tinggi mendapat kesan serius dikenali sebagai Multi-System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C).
“MIS-C adalah sejenis penyakit yang berlaku apabila kanak-kanak dijangkiti COVID-19, biasanya mereka yang berumur lima hingga 18 tahun.
“Mereka yang dijangkiti virus tersebut pulih tiga minggu hingga sebulan. Kemudian mereka demam balik semula dan diikuti muka, mata, tangan dan kaki menjadi merah dan juga bengkak,” katanya.
“90 peratus kes MIS-C merupakan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, dengan tujuh dilaporkan meninggal dunia.”
Dr Zulkifli berkata, jangkitan juga boleh melibatkan pelbagai organ lain seperti hati dan jantung.
“Inilah sebab kita beri vaksin kerana nak lindungi kanak-kanak,” katanya.
Tegas beliau, MIS-C amat berbahaya dan tidak boleh dipandang ringan.
“Berdasarkan maklumat daripada 14 Jabatan Pediatrik Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 170 kes MIS-C membabitkan mereka yang berusia bawah 18 tahun. Ini belum termasuk pesakit di hospital swasta.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 90 peratus merupakan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, dengan tujuh dilaporkan meninggal dunia.
“Jadi MIS-C tidak patut dipandang ringan dan penderitaan Long COVID itu adalah satu realiti,” katanya.
Menyedari kebimbangan ibu bapa mengenai keselamatan vaksin yang akan diberikan kepada kanak-kanak, Dr Zulkifli berkata, suntikan tersebut berbeza dengan dos yang diberikan kepada golongan dewasa.

“Bagi kanak-kanak mereka gunakan satu pertiga dos individu dewasa iaitu 10mcg. Ada preparation baharu dan preservative berbeza digunakan. Setakat ini vaksin itu telah diberi kepada 8.7 juta kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS).
“Vaksin ini juga telah menjalani kajian klinikal yang sangat ketat dan teliti. Ia juga sudah mendapat kelulusan bersyarat Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA).
“Jadi kita tak perlu ragu-ragu tentang keselamatan vaksin itu,” katanya.
Begitupun beliau berkata, vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (Pfizer-BioNTech) yang digunakan juga boleh memberi kesan sampingan vaksin yang biasa dialami oleh kanak-kanak.
“Daripada 8.7 juta kanak-kanak di AS yang sudah menerima suntikan itu, hanya 12 kes miokarditis atau radang otot jantung dilaporkan dan semuanya tidak serius. Mereka pulih dengan rehat sehari.
“Saya sendiri pun ada cucu. Bila diberi vaksin khas kanak-kanak, saya fikir kesan sampingannya adalah kurang daripada kesan sampingan orang dewasa,” katanya.
Malah Dr Zulkifli berkata, buat masa ini dua dos suntikan vaksin COVID-19 sudah mencukupi untuk kanak-kanak.
“Setakat ini apa yang dikatakan pegawai santifik Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), dua dos mencukupi. Saya tak nampak perlu diberi booster selepas itu.
“Maklumat sekarang begitu. Ini saya kemukakan kerana maklumat berkaitan COVID-19 bertukar setiap hari,” katanya.
Pada masa sama beliau mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau tahap kesihatan anak masing-masing sebelum dan selepas menerima vaksin tersebut.
“Amat penting sebelum bawa anak pergi vaksin, pastikan mereka sihat. Sehari atau dua hari sebelum itu, anak-anak kena dapatkan rehat yang cukup dan diberi makanan seimbang.
“Selepas suntikan pula, pastikan seminggu atau dua minggu anak-anak berehat di rumah. Jangan biarkan mereka kerap bermain, elakkan berbasikal mahupun berjoging,” katanya.
Katanya, sekiranya kanak-kanak terlalu aktif, mereka berisiko mengalami miokarditis atau radang otot jantung.
“Kes ini berlaku di AS. Namun hanya 66 kes dalam sejuta kes miokarditis dalam kalangan remaja. Mereka pergi joging dan main tenis.
“Walaupun kita buat aktiviti selepas vaksin, kita boleh rebah dan dapat miokarditis.
“Saya pernah dapat satu kes seorang remaja beritahu dia rasa berdebar dan sakit dada selepas divaksin. Dia tak pergi main di luar. Tapi bila saya tanya, dia kata main computer game sampai dua, tiga pagi.
“Jadi itu yang mengganggu masa rehat dia. Ia boleh meningkatkan risiko miokarditis,” katanya.
Dianggarkan empat juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak menerima vaksin berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan sistem tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera akan dibuka bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga membuat tempahan janji temu. - Getaran, 30 Januari 2022

