Proses bawa sisa banjir ke tapak pelupusan selesai, stesen pemindahan ditutup

14 Jan 2022 • 10:38 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 14 JAN: Proses pemindahan sampah pukal pascabanjir dari stesen pemindahan sementara (TS) ke tapak pelupusan selesai sepenuhnya hari ini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata TS di Seksyen 21 di sini menjadi stesen terakhir ditutup selepas 10 lagi ditutup sebelum ini mana tiga TS di Sepang menjadi yang terawal ditutup pada 4 Januari lalu.

“Tempat ini beroperasi sejak 21 Disember lalu sebagai pusat transit sementara bagi kawasan di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum di bawa keluar ke Tanjung 12 dan Jeram.

“Pada waktu kemuncak pernah ia mencecah sehingga 12,000 tan sampah pascabanjir pada satu-satu masa,” kata Ramli Mohd Tahir, hari ini.

image is not available
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir bergambar bersama kakitanganya selepas meninjau lori Roll On Roll Off (RoRo) terakhir mengangkut sampah pascabanjir di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, Shah Alam pada 14 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas melihat lori terakhir membawa sampah pascabanjir keluar dari stesen itu, petang tadi.

Katanya sepanjang tempoh 25 hari TS itu beroperasi sebanyak enam jengkaut, 40 lori 10 tan digunakan bagi memastikan sampah dibawa keluar dalam kadar segera.

Terdahulu, KDEBWM memberi tempoh sehingga Ahad untuk mangsa banjir mengeluarkan baki sampah pukal dari kediaman masing-masing.

Ramli berkata kerjasama orang ramai diperlukan bagi memudahkan urusan kutipan setelah pembersihan fasa kedua bermula 8 Januari lalu.