Tanggung rugi besar, peniaga tutup operasi akibat banjir

Business & Finance
27 Jan 2022 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

TEMERLOH - Tragedi banjir besar yang melanda di Mentakab lebih sebulan lalu menyebabkan seorang peniaga aksesori telefon bimbit terpaksa menutup terus operasi perniagaannya walaupun keadaan sudah pulih sepenuhnya.

Soh Chin Kok, 35 menanggung jumlah kerugian hingga puluhan ribu selepas barangan dan stok perniagaannya musnah akibat bencana alam tersebut.

"Nampak gayanya memang saya terpaksa menutup terus perniagaan selepas menanggung jumlah kerugian yang besar kali ini.

"Sayang memang sayang sebab terpaksa tutup tapi saya sudah tidak mampu meneruskan operasi lagi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

image is not available

Tambahnya, sebelum tragedi banjir itu berlaku, dia sebenarnya ingin menyewa premis lain untuk dijadikan stor barangan perniagaannya.

"Saya bercadang untuk berniaga dalam talian kerana pandemik Covid-19 banyak menjejaskan punca pendapatan.

"Namun tidak sempat saya mendapat lokasi baharu, banjir pula berlaku," jelasnya lagi.

Sudah menjalankan perniagaan itu sejak enam tahun lalu, Chin Kok akui buntu dan tertekan dalam mencari sumber pendapatan lain untuk menanggung keluarganya.