Lebih RM180 juta diperuntuk baiki jalan, cerun rosak akibat banjir

17 Jan 2022 • 5:51 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

DENGKIL, 17 JAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan peruntukan segera berjumlah RM187.87 juta bagi kerja pembaikan kritikal di 303 lokasi jalan raya dan cerun yang terjejas akibat banjir, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM133 juta diperuntukkan untuk pembaikan cerun di 181 lokasi dikenal pasti, manakala bakinya bagi membaik pulih jalan raya.

“Kerja-kerja pembaikan kritikal telah dimulakan. Kita mahu sekurang-kurangnya jalan terjejas boleh dibuka untuk satu lorong dan mestilah boleh dilalui.

“Itu sasaran peringkat awal hingga kita dapat peruntukan sepenuhnya dan bakinya boleh disiapkan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata kira-kira 80 peratus atau 943 daripada 994 lokasi jalan raya terkesan banjir di seluruh negara dibersihkan, dan bakinya kini dalam tindakan Jabatan Kerja Raya negeri masing-masing.

“Kerja baik pulih akan terus digiatkan dalam usaha pemulihan infra pasca banjir KKR,” katanya.

Mengenai proses pembaikan Jambatan Dengkil, Fadillah berkata sebanyak RM800,000 diperuntukkan untuk membaiki jambatan yang ditutup sejak 17 Dis, ekoran hakisan dan runtuh akibat banjir.

Menurutnya, proses pembaikan jambatan itu berjaya disiapkan lebih awal oleh Roadcare (M) Sdn Bhd berbanding sasaran asal iaitu siap pada akhir bulan ini.

“Alhamdulilah, pembaikan jambatan telah dapat disiapkan awal dan ia kini dibuka untuk laluan orang ramai,” katanya.

-BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved