
TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, Datuk Masiung Banah (gambar) bertegas, beliau belum mengambil sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik walaupun dikaitkan dengan penubuhan sebuah parti baharu Sabah.
“Ada tawaran daripada beberapa parti tempatan dan nasional, malah ada parti tempatan yang menawarkan jawatan timbalan presiden dan naib presiden (dilantik) namun saya masih belum terbuka hati, “ ujarnya.
Masiung berkata demikian, semasa merasmikan Majlis Amanat Adun Kuamut di Dewan Majlis Daerah Tongod, petang Rabu lepas.
Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang bahawa Adun bebas itu bakal menyertai sebuah parti tempatan selain turut dikhabarkan akan menyertai sebuah parti nasional pro-kerajaan.
“Setakat ini saya masih Adun bebas yang menyokong kerajaan dan belum berminat menyertai mana-mana parti sebagai platform politik saya.
“Saya tidak akan mengambil keputusan secara tergesa-gesa, melainkan setelah membuat pendekatan yang matang terlebih dahulu.
“Tunggulah... sampai masanya nanti saya akan buat pengumuman secara rasmi, “ katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB).
Masiung berkata sebagai penyokong kerajaan beliau, lebih fokus untuk membantu membangunkan halatuju Sabah Maju Jaya selain tumpuan kepada tugas hakiki yang diamanahkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pada majlis itu, beliau mengingatkan pegawai dan kakitangan kerajaan di daerah itu supaya memainkan peranan aktif membantu masyarakat yang memperlukan khidmat mereka.
Lebih 600 pegawai dan kakitangan kerajaan termasuk pemimpin masyarakat hadir pada majlis tahunan itu.
Pegawai Daerah, Mohd Fauzi Norbeh bersama ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan turut hadir.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
