
Piawaian rangkaian nirwayar 802.11be, ataupun WiFi 7 diperkenalkan sejak penghujung tahun 2020 oleh konsortium IEEE, dan dilihat akan menggantikan teknologi rangkaian WiFI7 menjelang 2023 kelak.
MediaTek, sebagai sebuah syarikat pembuat komponen terkenal baru-baru ini telah memperlihatkan sejumlah spesifikasi dan kemampuan cip WiFi7 Filogic mereka. Walaupun tiada ujian kelajuan kadar penghantaran data yang diperlihatkan, MediaTek mengatakan WiFi 7 merupakan piawaian WiFi pertama yang dilihat boleh menggantikan sambungan berkabel Ethernet untuk aktiviti-aktiviti yang memerlukan kadar penghantaran data yang pantas.

Ini termasuklah penstriman video beresolusi 4K dan 8K, penstriman kandungan realiti maya dan realiti terimbuh, dan pelbagai penggunaan perindustrian juga, yang dilihat akan mengubah cara pusat data direka di masa akan datang.
Rangkaian WiFi 7 dengan cip MediaTek Filogic ini akan memanfaatkan frekuensi 2.5GHz, 5GHz dan 6GHz sama seperti apa yang digunakan melalui rangkaian WiFi 6E. Kelajuan rangkaian ini dilihat akan hadir dengan kadar 2.4 kali lebih pantas berbanding dengan WiFi6 kerana penambahbaikan kepada teknologi QAM (quadrature amplitude modulation) yang digunakan.
MediaTek turut menjangkakan bahawa penghala, modem dan juga penerima WiFi 7 akan mula dipasarkan secara besar-besaran sekitar tahun 2023-2024 kelak.
