Waspada Panggilan Macau Scam Kononnya Layak Terima Bantuan

7 Jan 2022 • 10:46 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Panggilan telefon kononnya menyatakan seseorang individu layak menerima insentif atau bantuan daripada kerajaan, antara modus operandi terbaharu sindiket Macau Scam bagi memperdaya mangsa.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar hasil pemantauan, risikan dan maklumat awam yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata menerusi taktik itu, mangsa diminta menyerahkan maklumat dokumen pengenalan diri serta kata laluan perbankan kononnya untuk memudahkan proses penyaluran bantuan terbabit.

"Melalui pemantauan dijalankan, sindiket kerap mengubah modus operandi digunakan untuk memperdaya mangsa dan terbaharu, mangsa akan menerima panggilan yang menyatakan mereka layak menerima insentif atau bantuan daripada kerajaan.

"Selepas mangsa memberikan semua maklumat diminta kononnya untuk memudahkan proses pembayaran bantuan tersebut, mangsa mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mohd Kamarudin berkata, taktik lain yang digunakan adalah sindiket itu meminta mangsa yang terpedaya untuk membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan kemudahan perbankan atas talian dengan mendaftarkan nombor telefon disediakan pihak mereka.

Katanya, terdahulu mangsa akan menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai daripada agensi penguatkuasa seperti polis, mahkamah, bank negara dan sebagainya.

“Mangsa akan dimaklumkan bahawa akaun bank mereka sedang disiasat dan wang akan dibekukan atau hilang. Bagi mengelakkan perkara itu berlaku, mangsa diminta untuk membuka akaun bank baharu dengan mengaktifkan kemudahan perbankan atas talian menggunakan nombor telefon pihak sindiket.

“Setelah mengikut semua arahan yang diberikan, mangsa akan mendapati wang dalam akaunnya semakin berkurangan,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan sebarang maklumat perbankan seperti maklumat pengenalan diri, kata laluan dan nombor telefon adalah data yang amat penting serta sulit.

“Maklumat ini sama sekali tidak boleh dimaklumkan kepada orang lain khususnya individu yang tidak dikenali. 

"Polis juga tidak pernah meminta maklumat sebegini dalam menjalankan siasatan,” katanya. – Getaran, 7 Januari 2022
 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved