
BANGI : Malam tadi berlangsung penyerahan watikah, pemakaian dan kenaikan pangkat kepada anggota CDERT MAPIM seramai 24 orang.
Sebelum ini, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengorak langkah ke hadapan dalam perjuangan membantu ummah dengan penubuhan CDERT MAPIM atau Civil Defence Emergency Response Team, di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
CDERT MAPIM Malaysia telah diterajui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, YAS Pj. Kehormat (PA) (Dr.) Ahmad Sani Dato’ Abdul Alim Araby, dengan dibantu oleh Penolong Pesuruhjaya Bersekutu (PA) YS Tuan Zulhanis bin Zainol yang juga adalah Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, dan Kolonel Bersekutu (PA) Tuan Haji Muhammad Faris bin Hussain, Bendahari MAPIM Malaysia.
Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) mula diperkenalkan pada 16 Mac 2006 berdasarkan kepada Arahan Jabatan Bil. 1 tahun 2006 di mana semua Pejabat Awam Negeri dan Daerah telah diarah melaksanakan Penubuhan pasukan CDERT di agensi Kerajaan, Swasta dan Badan Berkanun.
Tujuan penubuhan CDERT antaranya adalah bagi membantu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan semasa keadaan kecemasan atau bencana yang memerlukan perkhidmatan Pertahanan Awam.
Ia juga akan membantu mengurangkan kesan terhadap sesuatu kecemasan atau bencana pada peringkat awal. Kesiapsiagaan terhadap sesuatu kecemasan peringkat awal akan memberi “precaution atau preventive measure” yang baik kepada pihak yang terkesan demi jaminan “survival” mangsa.

Antara individu terkenal yang menyertai CDERT MAPIM ialah Presiden Pertubuhan Seni Silat Lincah Selangor YBHG Datuk Dr Muhammad Fairus bin Haji Hussain dan penasihat syariah MAPIM iaitu Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim. Mereka masing-masing dianugerahkan pangkat Kolonel Bersekutu (PA).


Selebriti Heliza Helmi dan Hazwani Helmi yang juga aktivis MAPIM turut menyertai CDERT MAPIM dan berpangkat Kapten Bersekutu (PA) dan Leftenan Bersekutu (PA).
Majlis pada malam tadi turut dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya Angkatan Perhatan Awam YAS KPj. (PA) Aminurrahim Mohamed.

Menurut (Dr.) Sani Araby Al Kahery, majlis ini adalah petanda jelas bahawa MAPIM Malaysia serius dengan gerak kerja sukarelawan yang sentiasa siapsiaga.
Tambah (Dr.) Sani, “Ia selaras dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, yang menyasarkan penubuhan 60 lagi Pasukan Sukarelawan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Keluarga Malaysia di kawasan Parlimen seluruh negara.”
Untuk Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Dr Muhammad Fairus bin Haji Hussain, “Pelantikan ini memberikan lagi semangat bagi terus berbakti kepada ummah melalui platform CDERT MAPIM. Satu usaha yang sangat terpuji daripada MAPIM Malaysia.”
Kenyataan itu turut disokong oleh Kolonel Bersekutu (PA) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, “Selama ini, kita buat kerja kemanusiaan dengan gerak hati dan SOP setempat. Dengan CDERT MAPIM, insya-Allah kerja-kerja kemanusiaan selepas ini akan menjadi lebih berstruktur daripada segi ilmu penyelamatan dan kesiapsiagaan.”
“Saya dan adik saya bangga dan gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada CDERT MAPIM. Ini adalah satu penghormatan dan ‘upgrade’ yang sangat besar untuk kerja-kerja kemanusiaan kami,” kata Heliza Helmi dan adiknya Hazwani Helmi.
Ahli-ahli CDERT MAPIM Malaysia telah terbabit dengan misi bantuan banjir di Selangor, Pahang, dan yang terbaharu di Johor.
Mereka yang berdaftar sebagai ahli CDERT akan diwajibkan menghadiri kursus lima hari di Pusat Pertahanan Awam di seluruh negara.
