
KUALA LUMPUR - Kejadian ribut petir dan angin kencang yang berlaku di daerah Kinta, Perak semalam berpunca daripada pembentukan awan ribut petir bersaiz sangat kecil tetapi kuat.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, kejadian itu yang bersifat setempat dan bersaiz kecil meningkatkan intensiti dengan sangat cepat serta amat sukar untuk diramal.
Menurut beliau, pada masa sama tidak banyak awan aktif yang terbentuk di sekitarnya.
“Kejadian ribut petir dan angin kencang dilaporkan berlaku di daerah Kinta, Perak sekitar jam 6.30 petang semalam.
Berdasarkan imej radar serta satelit, beberapa tompok awan hujan kecil terbentuk di sempadan Perak dan Pahang pada jam 5.50 petang.
“Tompokan awan juga tidak berkembang dengan ketara, namun awan hujan bersaiz kecil di daerah Kinta meningkat ke intensiti kuat dalam tempoh yang sangat singkat sekitar jam 6.20 petang hingga 6.40 petang semalam,” katanya hari ini.
Beliau berkata, jabatan itu sudah mengeluarkan amaran untuk kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang membabitkan kawasan Perak bermula jam 3.40 petang semalam.
Menurut beliau, amaran itu dikemas kini pada jam 6.55 petang dan 7.55 malam membabitkan beberapa daerah di Perak, berdasarkan maklumat dan analisa cuaca terkini melalui pelbagai medium sebaran rasmi METMalaysia.
Dianggarkan, lebih 300 buah rumah di sekitar bandar Ipoh rosak akibat kejadian ribut dan puting beliung, petang semalam.
Kejadian berlaku sekitar jam 6 hingga 6.30 petang itu juga menyebabkan pokok tumbang merintangi jalan dan menghempap kenderaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, antara lokasi yang terjejas ialah Kampung Tawas, Taman Tasik Damai, Taman Desa Seri Chepor dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya.
Katanya, bencana itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa dan keadaan dilaporkan terkawal.
Sementara itu, kerajaan negeri Perak mengumumkan bantuan segera sebanyak RM300 kepada setiap penduduk yang terjejas khususnya untuk menggantikan atap yang rosak atau diterbangkan angin.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan ihsan itu diserahkan kepada penduduk terlibat hari ini.
Menurutnya, bantuan itu boleh digunakan untuk membeli kepingan zink agar kerja-kerja menggantikan atap rumah yang rosak dapat dilakukan segera. - Getaran, 31 Januari 2022

