Yayasan Vinod Sekhar Bantu Luaskan Perpustakaan Mikro, Sasar Kawasan Lembah Pantai

11 Jan 2022 • 6:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pengerusi Yayasan Vinod Sekhar Datin Dr Winy Sekhar bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil ketika majlis penyerahan buku. - Gambar oleh Sairien Nafis

KUALA LUMPUR - Penduduk di Parlimen Lembah Pantai bakal menikmati semula kemudahan perpustakaan mikro, yang akan diperluaskan dalam masa terdekat bagi menyemai minat membaca dalam kalangan komuniti setempat.

Ahli Parlimen berkenaan, Fahmi Fadzil berkata, perpustakaan itu akan memberi fokus utama kepada keluarga yang terkesan dengan banjir besar di Lembah Klang baru-baru ini.

Menurut beliau, ia melibatkan kerjasama Yayasan Vinod Sekhar yang menyumbangkan pelbagai genre buku, khususnya untuk bacaan kanak-kanak.

image is not available
Antara buku yang didermakan oleh Yayasan Vinod Sekhar. - Gambar oleh Sairien Nafis

“Menerusi perpustakaan mikro ini, setiap keluarga berpeluang membaca pelbagai jenis buku, yang akan diedarkan mengikut giliran.

“Sebelum ini pejabat saya juga ada mengusahakan program literasi atau program membaca secara percuma untuk anak-anak di Lembah Pantai,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan buku oleh Yayasan Vinod Sekhar yang diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai hari ini.

Pengerusi Yayasan Vinod Sekhar, Datin Dr Winy Sekhar berkata, pihaknya telah mengumpulkan pelbagai jenis buku untuk diedarkan kepada kanak-kanak dari keluarga B40.

Katanya, yayasan amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama berkenaan dan ia bukan satu masalah untuk direalisasikan.

image is not available
Menerusi perpustakaan mikro, setiap keluarga berpeluang membaca pelbagai jenis buku, yang akan diedarkan mengikut giliran. - Gambar oleh Sairien Nafis

“Yayasan berjaya mengumpul lebih 500 buah buku cerita yang akan disumbangkan kepada pusat komuniti dan perpustakaan di kawasan Lembah Pantai.

“Inisiatif ini bukan sahaja boleh memupuk minat membaca tetapi membolehkan mereka berkumpul bersama keluarga,” katanya.

Pendedahan seawal usia jelas Dr Winy, membolehkan kanak-kanak menyemai tabiat membaca, termasuk memilih bahan bacaan digemari.

“Tabiat membaca perlu dipupuk sedari awal dan perluasan operasi perpustakaan mikro ini diyakini mampu merealisasikan hasrat itu,” katanya. - Getaran, 11 Januari 2022