
Kota Kinabalu: Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengarahkan semua jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) di daerah masing-masing supaya memantau infrastruktur di bawah seliaan mereka berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Katanya, jalan raya berisiko termasuk bahagian cerun perlu dipantau bagi memastikan ianya selamat digunakan oleh pengguna dan sekiranya terdapat tanda-tanda yang mencurigakan, jurutera perlu memaklumkan ke pihak kementerian untuk tindakan lanjut.
Tambah Bung, mana-mana kawasan yang berisiko haruslah diletakkan papan tanda amaran bagi memastikan pengguna jalan raya peka dan lebih berhati-hati di kawasan tersebut bagi mengelak daripada kejadian tidak diingini.
Beliau turut menasihati pengguna supaya tidak mengambil sebarang risiko terutama bagi kenderaan kecil untuk meredah air banjir walaupun kelihatan tidak deras kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam sekelip mata.
“Pihak JKR akan sentiasa mengemas kini kedudukan keadaan jalan raya, cerun dan jambatan yang terjejas dengan keadaan banjir yang berlaku sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Sementara itu, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri, mengarahkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua daerah di negeri ini terutama di kawasan Kinabatangan diaktifkan 24 jam berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Menurutnya, adalah penting untuk memastikan segala persiapan dapat dirangka lebih awal sekaligus memastikan kelancaran operasi bersama agensi serta jabatan kerajaan berkaitan terutama dalam usaha membantu dan menyelamat.
“Ia juga bertujuan mengelak timbulnya sebarang isu kelewatan gerakan operasi yang akhirnya hanya akan memberi kesan terhadap usaha-usaha menyelamat penduduk di kawasan berisiko tinggi.
“Saya minta seluruh PKOB di negeri ini terutama di kawasan Kinabatangan supaya melakukan persiapan awal dan rapi bagi memastikan perjalanan operasi berjalan lancar,” katanya.
Bung menambah, perancangan rapi dan teratur dapat memastikan semua petugas serta aset-aset berkaitan dapat digerakkan bersama semasa operasi dijalankan sekaligus mengelak daripada sebarang kejadian yang buruk dan tidak diingini.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
