
ORANG ramai yang melakukan perjalanan di antara Pedalaman dan Pantai Timur Sabah akan mempunyai satu lagi jalan alternatif sebaik projek jalan raya bernilai RM300 juta yang menghubung-kan Tongod di Sandakan dan Sinaron, Keningau di Bahagian Pedalaman siap.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengumumkan projek ini selepas beliau menghadiri taklimat pembangunan infrastruktur Kinabatangan di Majlis Daerah Kinabatangan pada 5 Januari lepas, berkata projek ini akan dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Jaringan jalan raya yang diturap dan dibina dengan baik ini sudah tentu akan menjadi pemangkin kepada ekonomi penduduk sekitar dan ia boleh menghubungkan daerah Ranau, Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Pensiangan,” katanya sambil menambah ini juga antara projek pembinaan jalan raya yang akan dibina di Tongod.
Bung, yang juga Adun Lamag dan Ahli Parlimen Kinabatangan, turut menggesa orang ramai di seluruh negeri supaya tidak membina rumah atau sebarang struktur premis di rizab jalan raya.
Bung berkata penduduk yang rumah mereka terjejas akibat projek Pan Borneo di sekitar Kinabatangan telah disediakan sebidang tanah untuk membina semula kediaman mereka.
Bung juga menasihatkan penduduk Kg Pengkalan Bukit Garam di Kinabatangan untuk berpindah kerana kampung itu tidak lagi selamat untuk diduduki, mengatakan kawasan baharu telah disediakan untuk penduduk yang terjejas.
Beliau berkata perkara itu telah diputuskan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Majlis Daerah Kinabatangan tidak lama dahulu bagi menyelesaikan isu setinggan Kg Pengkalan Bukit Garam.
“Kerajaan sudah menyediakan tapak baharu untuk penduduk di kampung ini. Bagaimanapun, ada di antara mereka enggan berpindah dan sekali gus berdepan risiko terutamanya apabila berlaku banjir besar.
Sehari sebelum itu (4 Januari), selepas mendengar taklimat tentang pembangunan di Tongod oleh Pegawai Daerahnya Mohd Fauzi Norbeh di Pejabat Daerah Tongod, Bung turut mengumumkan pembinaan kompleks sukan di sini, yang tergendala sejak 2018, akan diteruskan.
Bung juga mengumumkan pada 7 Januari bahawa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Air Sabah sedang berusaha untuk memastikan rakyat Sabah dapat menikmati bekalan air terawat dengan pelaksanaan pelbagai projek yang memberi impak.
Beliau berkata sebagai contoh, di Lahad Datu beberapa projek sudah dirancang untuk menambah kapasiti bekalan air terawat kerana loji rawatan air di Sepagaya dan Segama tidak mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.
“Loji sedia ada hanya mempunyai kapasiti maksimum 56 juta liter air sehari manakala keperluan bekalan air meningkat sehingga 91 juta liter.
“Jadi antara projek yang sedang dilaksanakan ialah projek bekalan air luar bandar (BALB) kawasan Dewata dengan kapasiti reka bentuk tiga juta liter sehari dan ia dijangka siap tahun ini.
“Selain itu, pembinaan Loji Rawatan Air Baharu dengan kapasiti reka bentuk 60 juta liter sehari dijangka siap pada 2023.”
Beliau turut meminta agar peruntukan bagi pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa Satu di Sabah disegerakan memandangkan banyak jalan rosak teruk akibat hujan berterusan.
“Ketika ini, peruntukan yang digunakan adalah daripada peruntukan infra sebanyak RM1 bilion dan peruntukan itu hanya dapat melengkapkan dua daripada 22 pakej Pan Borneo yang diumumkan.
“Ini bermakna ia akan mengambil masa 20 tahun lagi untuk menyiapkan 20 pakej lain,” katanya sambil menambah Kerajaan Negeri sebelum ini bersetuju projek terbabit dilaksanakan melalui inisiatif pembiayaan swasta.
Pada 6 Jan, Bung mendedahkan kementeriannya bercadang untuk mengenakan caj perkhidmatan penyelenggaraan pembetungan bagi memastikan sistem pembetungan berada dalam keadaan terbaik.
Beliau berkata satu Akta akan diperkenalkan bagi membolehkan Kerajaan Negeri menggabungkan bayaran air dan pembetungan.
“Kesedaran orang ramai tentang keperluan pembetungan masih rendah, walaupun pembetungan efektif boleh menjaga kesihatan orang ramai,” katanya pada majlis pecah tanah Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan dan Saluran Paip Pembentungan di Bandar Sandakan, Sandakan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

