Pemuda Amanah biayai kos pemulihan Iskandar, ubat datuk

15 Jan 2022 • 3:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

GOMBAK - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) akan membiayai kos perbelanjaan untuk pemulihan Iskandar Daniel, 19, yang ditahan kerana cuba mencuri tabung masjid baru-baru ini, termasuk kos ubat-ubatan datuknya.

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda berkata, pihaknya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan telah melawat datuk remaja terbabit di Kampung Damai, Kuang, di sini pada Jumaat untuk berbincang tentang usah memasukkan cucunya ke pusat pemulihan.

Mohd Hasbie menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis sebelum ini pernah memaklumkan akan memberi sumbangan RM4,000 untuk membayar ikat jamin remaja berkenaan, namun kos tersebut telah ditanggung pihak lain.

"Oleh sebab saya dah janji untuk beri sumbangan RM4,000, maka saya akan tetap berbuat demikian namun ia akan digunakan untuk bayaran yuran kemasukan bulanan untuk remaja itu ke pusat pemulihan dadah.

"Saya dah serahkan sedikit sumbangan kepada datuknya untuk perbelanjaan kos ke klinik dan lain-lain keperluan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

image is not available

Dalam pada itu, Mohd Hasbie menjelaskan niatnya membantu remaja tersebut bukan untuk membela kesalahan remaja terbabit sebaliknya menyifatkan tindakan memandikan seperti jenazah, merakam aksi tersebut dan menyebarkannya kepada masyarakat adalah keterlaluan.

Ujarnya, remaja itu wajar diberikan peluang kedua untuk berubah kerana dia masih muda dan kelakuannya terbentuk daripada persekitaran keluarga yang bermasalah.

"Golongan ini terhasil dari persekitaran yang bobrok. Bukan pilihan asal dia tapi (perilaku remaja) terbentuk hasil daripada keluarga bermasalah, pengaruh rakan sebaya, pengangguran dan lain-lain.

"Kalau kita terus mengabaikan (remaja tersebut), mereka akan membesar menjadi penjenayah dalam masyarakat. Saya percaya pada usia 19 tahun, dia masih boleh dibentuk dan diperbaiki. Kalau umur 55 atau 60 tahun mungkin sukar untuk diubah," katanya