Selangor lulus RM40 juta baikpulih pasca banjir

7 Jan 2022 • 9:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan segera berjumlah lebih RM40 juta melibatkan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan infrastruktur yang terkesan akibat banjir di lapan daerah di negeri tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan tersebut meliputi RM31.7 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bagi projek-projek kritikal seperti pembersihan runtuhan cerun dan tebing jalan di beberapa kawasan di negeri berkenaan.

Menurutnya, projek-projek tersebut melibatkan sepanjang Laluan B32 Jalan Bukit Peras, Jalan Sungai Lui - Sungai Lalang, Hulu Langat; Jalan Ladang Caledonian - Batu Arang, Gombak; Jalan Rawang - Kuala Selangor; Jalan Selayang - Kepong; Jalan Tempinis 1, Jalan Rahidin dan Jalan Jati - Petaling.

"Projek tersebut turut meliputi penggantian Jambatan Sungai Jenderam, Laluan B48 Jalan Dengkil - Sepang, dan kerja-kerja membaikpulih jalan rosak di Jalan Sungai Lui, Sungai Lalang dan Jalan Bukit Peras.

"Peruntukan tersebut diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan pada Khamis untuk kerja-kerja segera serta perlu dilaksanakan segara, jika tidak kemudahan tersebut akan terjejas dan terus ditutup."

Beliau berkata demikian ketika sidang media khas pemulihan pasca banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan sebanyak RM9.18 juta diperuntukkan bagi 13 projek yang dikendali oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi usaha-usaha pengukuhan tebing sungai dan pembinaan ban sungai.

Ujarnya, projek tersebut turut meliputi pembinaan aras platform Tenaga Nasional Berhad (TNB), pembelian set penghidup mudah alih serta penambahan sistem amaran banjir di kawasan titik penting.

"Kerja-kerja tersebut berstatus darurat dan perlu dibuat segera, sebab itu ia perlu diluluskan," katanya.