Guna Paku Bungkus Makanan Boleh Didakwa - Dr Noor Hisham

4 Jan 2022 • 4:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Noor Hisham Abdullah - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Peniaga makanan yang menggunakan paku, dawai kokot atau bahan berbahaya pada bungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah kerana membahayakan kesihatan pengguna, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kementerian Kesihatan (KKM) katanya, menasihatkan peniaga makanan supaya tidak menggunakan bahan tersebut pada bungkusan, kerana ia boleh menyebabkan kecederaan serius jika termasuk dalam makanan dan ditelan pengguna.

Katanya, orang ramai terutamanya ibu bapa juga dinasihatkan untuk memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum ia dimakan bagi mengurangkan risiko kecederaan.

“Tindakan menggunakan paku, dawai kokot atau bahan seumpamanya boleh menyebabkan mereka didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.

“Hukuman lebih berat juga boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan,” katanya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, peruntukan Seksyen 13 Akta Makanan 1983 mensyaratkan bahawa sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan mengandungi bahan memudaratkan kesihatan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

“Penyedia dan peniaga makanan diingatkan bahawa terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan.

“Penggunaan paku, dawai kokot atau bahan lain yang berbahaya pada pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku kerana sejak sekian lama, sudah terdapat pelbagai kaedah pembungkusan makanan yang terbukti selamat dan berkesan,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika menjumpai makanan yang dibungkus menggunakan paku, dawai kokot dan seumpamanya. - Getaran, 4 Januari 2022