5 Keburukan Diet Air Putih (Water Fasting)

Health & Fitness
24 Jan 2022 • 11:00 AM MYT
Duan Deris
Duan Deris

Duan Deris adalah pekebun separuh masa dan penulis bebas di cariblogger.com

image is not available

Diet air putih ataupun popular disebut sebagai “Water Fasting” adalah sejenis metode diet yang agak ektrem di mana anda tidak boleh mengambil apa-apa makanan selain air.

Trend “Water Fasting” kini dilihat semakin berleluasa di Malaysia terutamanya melalui perkongsian di media-media sosial. Ramai yang menunjukkan hasil keberkesanan cara diet tetapi sebenarnya tidak semua yang tahu tentang kesan sampingan dan bahaya bakal yang menanti.

Menurut pakar-pakar perubatan, diet melalui “Water Fasting” ini mungkin boleh menjadi diet paling berbahaya dan tidak harus diikuti ramai. Malah menurut Doktor Pakar Buah Pinggang, Dr Rafidah Abdullah, minum air terlampau banyak bukan penyebab kurus, tetapi mungkin berpontensi untuk menyebabkan sawan. (Sumber)

Diet air putih sebenarnya boleh memberi tekanan tambahan pada badan dan bukanlah sejenis teknik diet yang sesuai untuk diamalkan. Risiko dan bahayanya mungkin melebihi dari manfaat. Berikut adalah 5 keburukan “Water Fasting” yang harus anda ketahui:

image is not available
Photo by Matteo Badini from Pexels

1. Boleh Menyebabkan Dehidrasi

Anda minum air yang banyak tetapi masih mengalami dehidrasi? Ya mungkin bunyinya sedikit aneh tetapi tahukah anda sebenarnya kira-kira 20 hingga 30 peratus pengambilan air harian datangnya daripada makanan?

Meskipun anda minum bergelen-gelen air, kuantiti air yang diperlukan badan masih tidak akan cukup. Oleh itu, pemakanan yang seimbang sangat penting untuk kesempurnaan penyerapan nutrisi dalam badan.

Antara gejala dehidrasi adalah seperti sakit kepala, pening, loya, sembelit, tekanan darah rendah dan sebagainya.

2. Mengurangkan Kandungan Gula Dalam Darah

Diet air putih harus dielak oleh pesakit diabetes. Menghentikan pengambilan makanan secara tiba-tiba boleh menyebabkan kandungan gula dalam darah menjadi rendah dan mungkin boleh menyebabkan keadaan kesihatan terjejas.

Tidak berbaloi jika anda mahu ingin menguruskan badan tetapi kesihatan terganggu. Pesakit diabetes seharusnya mengamalkan diet yang seimbang dan menjalankan aktiviti bersenam secara konsisten.

3. Menyebabkan Kehilangan Berat Badan yang Tidak Sihat

Metode diet dengan hanya minum air kosong sahaja semestinya akan menyekat kalori yang diperlukan badan. Tanpa sebarang kalori, berat badan akan menyusut dengan cepat tetapi dengan cara yang tidak sihat.

Meskipun boleh menurunkan berat badan dengan cepat, malangnya kebanyakan berat badan yang diturunkan mungkin berasal dari air, karbohidrat mahupun jisim otot.

4. Boleh Menyebabkan Hipotensi Ortostatik (Hipotensi Postural)

Hipotensi Ortostatik ataupun Hipotensi Postural merupakan sejenis keadaan di mana berlaku penurunan tekanan darah dengan mendadak semasa pertukaran postur daripada posisi baring ke posisi berdiri. (Sumber)

Gejala seperti pening atau pengsan mungkin berlaku dengan serta-merta selepas pertukaran postur atau 5 hingga 10 minit selepas pertukaran postur. Keadaan ini berlaku disebabkan badan kekurangan air.

Jika anda mengalami simptom ini semasa diet air putih, teknik ini mungkin tidak sesuai untuk anda.

5. Boleh Memburukkan Risiko Keadaan Perubatan Pesakit

Diet air putih sangat tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes, gout dan gangguan makanan. Ia boleh memburukkan risiko keadaan semasa pesakit.

Sebagai contoh, diet dengan hanya minum air kosong boleh meningkatkan pengeluaran asid urik pada pesakit gout seterusnya mungkin boleh mengakibatkan serangan gout.

Kesimpulan

Jika anda masih mahu mencuba diet air putih, adalah dinasihatkan agar anda mendapatkan khidmat nasihat dan berunding dahulu dengan doktor anda.

Apa guna jika terpaksa berhadapan dengan risiko yang tinggi hanya untuk mendapatkan badan yang kurus. Ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Kurus tak dapat, sakit pula yang mendatang.


Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.