Realme GT2 Pro dengan Snapdragon 8 Gen 1 rasmi pada harga bermula RMB3,899

Digital
5 Jan 2022 • 1:56 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Satu demi satu telefon dengan cip Snapdragon 8 Gen1 dilancarkan dalam pasaran. Selepas Motorola Edge X30, kini giliran Realme GT2 Pro pula mencuri lampu limpah dunia Internet apabila ia diumumkan dalam pasaran China.

image is not available

Harga Realme GT2 Pro

Berikut adalah harga varian-varian Realme GT2 Pro yang ditawarkan dalam pasaran China:

  • RAM 8GB + storan 128GB – RMB3,899 (RM 2,572)
  • RAM 8GB + storan 256GB – RMB4,199 (RM 2,769)
  • RAM 12GB + storan 256GB – RMB4,499 (RM2,967)
  • RAM 12GB + storan 512GB – RM4,999 (RM3,297)

Sesi tempahan akan dimulakan di sana pada 7 Januari 2022.

Spesifikasi Realme GT2 Pro

Realme GT2 Pro adalah sebuah teleofn sebesar 6.7". Ia menerima panel QHD+ AMOLED dengan kadar segar semula sehingga 120Hz. Atas papan utama, ia diperkasa Snapdragon 8 Gen1, cip flagship 2022 yang berada dalam kategori 4nm.

image is not available

Keunikan yang ingin ditonjolkan pengeluarnya adalah pada kemasan belakang. Menurut pengeluarnya ia mengambil inspirasi daripada kertas dan ia memang menjadi norma Realme untuk hadir dengan telefon berkemasan menarik. Misalnya Realme GT Master Edition mengambil inspirasi daripada sebuah beg.

image is not available

Di jabatan pengimejan, telefon ini dilengkapi trikamera belakang. Dua kamera pertama menggunakan sensor 50MP, satu dengan jarak fokal 23.6mm (setara format 35mm) dan satu lagi kamera ultralebar yang ada jarak fokal 15mm (setara format 35mm). Kamera belakang ketiga telefon ini adalah kamera makro yang katanya boleh memperbesar subjek sehingga 40x.

image is not available

Untuk tugasan selfie, telefon ini diberikan kamera 32MP.

Menguasakan segala kelengkapan kamera telefon ini adalah bateri berkapasiti 5,000mAh dan Realme bermurah hati memberikan pengecas 65W terus di dalam kotak bersama-sama kabel USB-C.

image is not available

Malangnya, tiada maklumat tentang IP Rating telefon ini ataupun sama ada ia menyokong pengecasan wayarles ataupun tidak.

Terus daripada kotak, telefon ini menjalankan antaramuka RealmeUI 3.0 berasaskan Android 12 dan ia adalah telefon Realme pertama dengan Android 12.

image is not available

Sumber: Realme