MAIWP bantu penghantar makanan bawa anak OKU

25 Jan 2022 • 3:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membantu wanita yang tular mengendong anak orang kurang upaya (OKU) semasa bekerja sebagai penghantar makanan.

MAIWP memaklumkan, Skuad Baitulmal MAIWP menemui Azimah Abd Rahim, 37, bersama anaknya, Zahirah, 5, pada malam Isnin setelah beberapa pertemuan dibatalkan.

"Azimah akan menerima Bantuan Sara Hidup selain keperluan perubatan berupa susu dan lampin pakai buang, manakala Zahirah akan dibantu secara bulanan dalam masa terdekat ini.

"Azimah tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membawa Zahirah bersamanya ketika dia keluar mencari rezeki memandangkan anaknya cacat penglihatan penuh sejak lahir di samping mengalami simptom 'hyperactive'," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

"Skuad Baitulmal MAIWP sempat berkongsi sekiranya terdapat sebarang keperluan berkenaan anak istimewanya itu, jangan bertangguh untuk mengadu kepada MAIWP untuk dibantu secepat mungkin.

"Terima kasih pembayar zakat pusat pungutan zakat, amanah anda MAIWP laksanakan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.