
KUALA PENYU: Perbezaan budaya dan bahasa bukan penghalang untuk masyarakat bekerjasama membangunkan negeri.
Menurut Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury, keunikan budaya dan pelbagai perayaan yang dirai Keluarga Malaysia itu sebaliknya menjadi asas perpaduan negara dengan amalan rumah terbuka.
“Sabah yang mempunyai lebih daripada 30 kumpulan etnik terus menikmati kemakmuran dan semua pihak perlu mempertahankan perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat.
“Perayaan Krismas dan Gong Xi Fa Cai, seperti juga perayaan lain, membuktikan bahawa negara kita Malaysia sentiasa mengamalkan toleransi agama, keharmonian budaya dan semangat perpaduan yang kukuh.
“Malah, amalan rumah terbuka bagi perayaan-perayaan di negara ini sudahpun menjadi tradisi untuk saling berkunjung dengan semangat perpaduan dan persahabatan,” jelas beliau.
Dengan prosedur operasi standard (SOP) yang kini membenarkan sambutan Gong Xi Fa Cai, Limus berharap masyarakat menggunakan kesempatan tersebut bagi menyuburkan lagi perpaduan dan keharmonian antara kaum.
“Saya berharap melalui sambutan perayaan-perayaan seperti ini, kita dapat melupakan perbezaan yang wujud di antara kita dari segi fahaman agama, politik serta adat resam demi mengukuhkan lagi keharmonian rakyat,” ujar beliau.
Limus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu berucap demikian ketika merasmikan Majlis Perayaan Krismas, Gong Xl Fa Cai, Tamat Latihan Industri dan Anugerah Khidmat Cemerlang Pejabat Daerah Kuala Penyu di sini, pada Khamis.
Mengulas mengenai majlis itu, beliau memuji usaha pejabat yang diketuai Pegawai Daerah, Sebastian Ingkim dalam penyatuan masyarakat dan penjimatan kos penganjuran.
“Syabas dan tahniah atas penganjuran program ini kerana selain menyatukan masyarakat, kita juga berjaya menjimatkan kos penganjiran apatah lagi pada masa kita masih lagi berhadapan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19,” tambah beliau.
Pada majlis berkenaan, Limus menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021, Florence Iten dan Rosli Muslim.
Cenderahati turut disampaikan kepada Penolong Pegawai Daerah, Djamaludin Kamarudin yang bertukar ke Pejabat Daerah Beaufort, selain kepada pesara UPPM, Md Justin Mais.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

