Penganjur himpunan desak PM rehatkan Azam Baki akan dipanggil

18 Jan 2022 • 5:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PUTRAJAYA - Polis akan memanggil penganjur himpunan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri merehatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di hadapan kompleks Pejabat Perdana Menteri di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, penganjur himpunan itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.

"Kita akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman kerana gagal beri notis kepada pihak polis.

"Kes itu juga disiasat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan himpunan itu dihadiri lebih 50 penyokong Amanah dan turut disertai Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah Biro Mobilisasi Amanah Nasional yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan.

Memorandum tuntutan itu diserahkan kepada Pegawai Khas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhamed Rizman Abdullah.