Anggota bomba cedera ketika operasi padam kebakaran

6 Jan 2022 • 9:24 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 6 JAN: Seorang anggota bomba cedera selepas simen konkrit jatuh menimpanya ketika sedang memadamkan kebakaran sebuah kilang pemetik api di Seksyen 22 di sini petang semalam.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata kejadian pada jam 4.45 petang itu menyebabkan Yunuslie Julius, 28, cedera di bahagian tengkuk.

“Sewaktu operasi Yunuslie di tingkat bawah dan simen konkrit sebesar dua batu bata jatuh atas topi keledarnya.

“Pegawai perubatan yang ada di lokasi merawat mangsa sebelum dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut. Mangsa dalam keadaan sedar,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Norazam berkata kilang tiga tingkat berkenaan musnah 70 peratus selepas terbakar kira-kira jam 3 petang.

“Anggota seramai 26 orang termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang.

“Tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan. Siasatan lanjut termasuk punca dan kerugian masih disiasat,” katanya.