
KUALA LUMPUR - Sindiket penyeludupan syabu dipercayai didalangi lelaki warga Singapura tumpas, selepas polis merampas 141 kilogram dadah yang disimpan dalam sebuah lori berhampiran taman perumahan di Selangor, Khamis lalu.
Lori tiga tan yang menyimpan dadah bernilai RM5.08 juta itu dipercayai dijadikan stor simpanan oleh sindiket dan diparkir di beberapa lokasi berbeza bagi mengelakkan daripada dikesan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, penemuan dadah itu hasil daripada tangkapan enam individu termasuk dua warga asing, dalam serbuan berasingan di tiga hotel sekitar Lembah Klang, bermula jam 11.35 pagi hingga 4.50 petang, pada hari sama.
Menurutnya, tangkapan terdiri daripada seorang lelaki warga Singapura yang juga dalang utama berusia 40-an bersama empat lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam, kesemuanya berusia 20 hingga 42 tahun.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini sudah beroperasi kira-kira sebulan dan dadah berkenaan dipercayai untuk bekalan kepada pengedar dadah tempatan di luar Lembah Klang.
"Siasatan turut mendapati sindiket ini menggunakan sebuah lori tiga tan untuk dijadikan stor simpanan dan kenderaan itu dipercayai diparkir di beberapa lokasi berasingan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Hasil pemeriksaan, kita menemui beberapa guni berisi puluhan pek plastik bercap teh Cina yang mengandungi serbuk dadah dipercayai syabu seberat 141 kg dianggarkan bernilai RM5.08 juta," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Semua tangkapan dan rampasan dadah itu adalah hasil Operasi (Op) Mitch oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) KL, yang melakukan siasatan dan risikan rapi selama beberapa minggu.
Menurut Yahaya, semakan mendapati empat lelaki tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, malah ujian awal saringan air kencing juga didapati positif dadah.
"Menerusi tangkapan itu, kita turut merampas 0.7 gram dadah jenis heroin bernilai RM3,500 dan empat pil disyaki erimin 5 bernilai RM60 serta wang tunai RM5,168.
"Kita masih meneruskan siasatan lanjut berhubung rangkaian sindiket ini, punca bekalan dadah dan saki baki ahli sindiket serta kaitan pemilik lori dengan sindiket berkenaan," katanya.
Semua suspek kini direman antara empat hingga tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Getaran, 31 Januari 2022
