Twitter usahakan ciri seperti Close Friend di Instagram Stories, ia digelar sebagai Flock

Digital
25 Jan 2022 • 8:06 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Anda pernah guna ciri Close Friend di Instagram Stories? Di situ, anda boleh kongsikan video atau gambar dan anda boleh pilih rakan tertentu sahaja untuk melihatnya. Jika anda biasa dengan ciri itu dan sering gunakannya, tidak lama lagi anda akan temui ciri seakan sama di Twitter pula.

Twitter kini sedang mengusahakan ciri yang membolehkan anda menulis tweet dan ia hanya boleh dilihat oleh rakan terpilih sahaja. Buat masa ini, Twitter menggelar ciri itu sebagai “Flock”.

Berdasarkan penjelasan yang ditemui, anda boleh menambah sehingga 150 pengguna dalam senarai Twitter Flock. Hanya rakan yang terlibat sahaja boleh lihat dan balas tweet itu. Sebarang tweet yang anda kongsikan akan disertakan juga dengan paparan label yang menyatakan “anda boleh lihat Tweet ini kerana penulis telah tambahkan anda dalam Twitter Flock-nya”. Selain itu, anda juga boleh kemaskini senarai kumpulan itu pada bila-bila masa. Twitter juga tidak akan memberitahu pengguna jika anda keluarkan mereka dari senarai Flock.

Namun, bagaimana untuk kongsikan Tweet kepada senarai Flock? Sebelum anda kongsikan Tweet, Twitter akan berikan dua pilihan pembaca iaitu Everyone dan Twitter Flock. Maka, di situ, anda boleh pilih Twitter Flock sebagai pembaca Tweet anda. Selain itu, dipaparkan juga jumlah senarai Flock anda dan anda boleh kemaskininya dengan tekan pada pilihan Edit list.

Sama dengan Instagram Stories, anda boleh gunakan ciri ini pada waktu yang anda rasa sesuai. Contohnya, apabila anda Tweet tentang perkara peribadi, maka anda boleh sediakan senarai rakan yang anda percayai sahaja untuk membacanya.

[Sumber: Engadget]